Mohamad Feisal Mohamed Norawi menunjukkan batang vanilla yang ditanam di Amani Vanilla Temerloh, Temerloh. FOTO Asrol Awang
Mohamad Feisal Mohamed Norawi menunjukkan batang vanilla yang ditanam di Amani Vanilla Temerloh, Temerloh. FOTO Asrol Awang
Asrol Awang


"SAYA pernah diketawakan kerana menanam pokok vanila ketika mula berjinak dalam penanaman bahan perisa itu, 12 tahun lalu.

"Walaupun terpaksa menunggu sehingga enam tahun untuk mendapatkan hasil dengan ilmu dimiliki ketika itu, saya amat bersyukur.

"Kini saya sudah membuktikan penanaman vanila berjaya hingga menjadi tumpuan orang ramai untuk melihat sendiri vanila bukan sahaja dari Temerloh, Pahang malah di seluruh negara," kata Mohamad Feisal Mohamed Norawi.

 Pengunjung tidak melepaskan peluang untuk merasa aiskrim vanilla di Amani Vanilla Temerloh, Temerloh. FOTO Asrol Awang
Pengunjung tidak melepaskan peluang untuk merasa aiskrim vanilla di Amani Vanilla Temerloh, Temerloh. FOTO Asrol Awang

Mohamad Feisal, 38, membuka kafe berasaskan vanila sejak dua bulan lalu dan turut menghasilkan aiskrim vanila dan berterima kasih di atas sokongan orang ramai.

Katanya, pada cuti hujung minggu dan umum menjadikan Amani Vanilla Temerloh semakin mendapat perhatian orang ramai untuk melihat lebih dekat pokok vanila.

"Pada masa sama pengunjung dapat merasa aiskrim vanila gula kabung dan air kopi O vanila yang kini menjadi tarikan utama apabila berkunjung ke sini.

"Selain itu pengunjung boleh bergambar dan mendapatkan maklumat mengenai vanila.

Pengunjung tidak melepaskan peluang untuk melihat lebih dekat pokok vanilla yang ditanam di Amani Vanilla Temerloh, Temerloh. FOTO Asrol Awang
Pengunjung tidak melepaskan peluang untuk melihat lebih dekat pokok vanilla yang ditanam di Amani Vanilla Temerloh, Temerloh. FOTO Asrol Awang

"Dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP), saya kini mengehadkan jumlah pengunjung bagi memastikan mereka mematuhi prosedur operasi standard (SOP)," katanya ketika ditemui di Paya Kelubi, Kampung Bangau Parit, Temerloh.

Mohamad Feisal berkata, dia memberanikan diri memandangkan pasaran vanila yang meluas untuk pelbagai juadah makanan dan dijadikan bahan perisa seperti aiskrim dan kek.

Katanya, sokongan isteri, Musazlila Mustapar, 38, dan agensi kerajaan banyak membantu dalam meningkatkan pengeluaran vanila dan sehingga kini mempunyai 2,000 pokok vanila.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Ogos 2020 @ 3:54 PM