ANTARA pemandu yang menjalani ujian pernafasan untuk menentukan paras alkohol dalam badan. FOTO ihsan polis
ANTARA pemandu yang menjalani ujian pernafasan untuk menentukan paras alkohol dalam badan. FOTO ihsan polis
Muhaamad Hafis Nawawi


LIMA lelaki ditahan selepas disyaki memandu di bawah pengaruh alkohol dalam Ops Alkohol dan Pencegahan Jenayah di beberapa lokasi di Petaling Jaya malam tadi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, operasi itu dilakukan bermula 11 malam hingga 3 pagi ini.

"Seramai 625 pengguna jalan raya dan 577 kenderaan diperiksa dalam operasi ini, hasilnya lima lelaki berusia antara 22 hingga 48 tahun ditahan selepas dipercayai memandu di bawah pengaruh alkohol.

"Mereka yang ditahan itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 45(a)1 Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya dalam kenyataan hari ini.

Nik Ezanee berkata, seramai 65 pengguna jalan raya dikenakan tindakan saman atas pelbagai kesalahan lalu-lintas.

"Seramai lima daripadanya disaman mengikut Seksyen 26 Akta Pengangkutan Jalan 1987 atas kesalahan memandu atau menunggang kenderaan tanpa lesen.

"Bagi kesalahan ini, individu terbabit dikehendaki hadir ke mahkamah untuk dibicarakan," katanya.

Beliau berkata, hasil tinjauan semalam mendapati masih ada pengguna jalan raya yang memandu di bawah pengaruh alkohol.

"Fokus utama operasi ini dilaksanakan bertujuan membanteras dan mencegah pengguna jalan raya yang memandu atau menunggang kenderaan di bawah pengaruh alkohol yang membahayakan keselamatan dan boleh mengakibatkan kematian orang lain.

"Kami memandang serius terhadap kesalahan pengguna jalan raya yang memandu dan menunggang kenderaan tanpa lesen," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Ogos 2020 @ 4:01 PM