SITI Noraini menghidap penyakit tulang belakang bengkok dan menanti tarikh untuk menjalani pembedahan.
SITI Noraini menghidap penyakit tulang belakang bengkok dan menanti tarikh untuk menjalani pembedahan.
Redzuan Muharam


MENANGGUNG penyakit Scoliosis atau tulang belakang bengkok menyebabkan Siti Noraini Abdullah, 12, melalui kehidupan tidak seperti kanak-kanak sebayanya.

Keadaan badannya yang melengkung di bahagian pinggang kiri menyebabkan pergerakan anak kedua daripada tiga beradik itu terbatas apatah lagi menyertai aktiviti sukan di sekolah.

Ibunya, Siti Nordiana Wee Abdullah, 39 berkata, Siti Noraini menghidap penyakit berkenaan sejak lahir tetapi lengkungan itu semakin ketara sejak tahun lalu.

Katanya, perubahan itu menyebabkannya membawa Siti Noraini ke Hospital Segamat pada hujung tahun lalu sebelum dirujuk kepada pakar di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (PPUKM) di Kuala Lumpur.

"Sejak itu, saya dan Siti Noraini perlu berulang alik dari Segamat ke Kuala Lumpur untuk melakukan pemeriksaan dengan pakar di PPUKM.

"Kami sudah ke sana beberapa kali dan keadaan tulangnya yang semakin melengkung menyebabkan pakar mengesyorkan pembedahan dilakukan dengan segera.

"Namun, doktor memberi dua pilihan iaitu melakukan pembedahan sekali saja (tarik tulang) atau setiap enam bulan sekali sehingga Siti Noraini berusia 15 tahun," katanya ketika dihubungi Harian Metro.

Menurut Siti Nordiana, buat masa ini, doktor belum menetapkan tarikh pembedahan tetapi ia kemungkinan dijalankan pada awal September depan dengan kos sebanyak RM40,000.

Katanya, pembedahan itu bukan jaminan Siti Noraini akan pulih sepenuhnya kerana doktor memaklumkan risikonya tetap ada.

"Buat masa ini, Siti Noraini boleh menguruskan diri sendiri malah masih bermain dengan rakannya walaupun dalam pergerakan yang terbatas.

"Cuma, keadaannya perlu dipantau dan saya sendiri sudah memaklumkan pihak sekolah mengenai keadaan Siti Noraini," katanya.

Menurutnya, selain memberi pengecualian menyertai aktiviti sukan, pihak sekolah Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Anam, Segamat, Johor turut membantu menyediakan ruang di satu sudut di dalam kelas bagi Siti Noraini meletakkan buku dan tidak perlu membawa beg ke sekolah," katanya yang menetap di Batu Anam, Segamat, Johor.

Siti Nordiana berkata, bukan saja Siti Noraini yang diuji dengan penyakit malah dirinya turut menghidap kencing manis.

Penyakit itu menyebabkannya terpaksa menjalani pembedahan membuang bisul di bahagian belakang badan pada Mei lalu.

"Ikutkan, saya bekerja sebagai pembantu di kedai makan tetapi terpaksa berehat buat sementara selepas melakukan pembedahan pada Mei lalu.

"Kini, saya dan anak-anak hanya bergantung dengan bantuan bulanan sebanyak RM200 daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), keluarga dan ihsan jiran sekeliling.

"Besar harapan saya supaya Siti Noraini kembali pulih begitu juga dengan saya supaya dapat kembali bekerja seperti dulu," katanya.

Orang ramai yang berhasrat membantu meringankan beban kewangan kos pembedahan Siti Noraini boleh hubungi Siti Nordiana di nombor 011-37353708.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Ogos 2020 @ 4:49 PM