Kesemua penunggang motosikal yang ditahan selepas disyaki terbabit dalam lumba haram di mat rempit Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh (SPA), Melaka pada pagi hari ini. Foto Ihsan PDRM
Kesemua penunggang motosikal yang ditahan selepas disyaki terbabit dalam lumba haram di mat rempit Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh (SPA), Melaka pada pagi hari ini. Foto Ihsan PDRM
Muhaamad Hafis Nawawi

CALON peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) antara 12 orang yang ditahan kerana terbabit dalam aktiviti lumba haram di Lebuh Sungai Udang-Paya Rumput-Ayer Keroh (SPA), Melaka pada pagi hari ini.

Kesemua mereka berusia antara 14 hingga 22 tahun ditahan dalam operasi oleh Unit Risikan/Operasi Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman bermula 11 malam hingga 3.30 pagi.

Timbalan Pengarah JSPT Bukit Aman Datuk Mohd Nadzri Hussain berkata, tangkapan pertama membabitkan dua pelajar tingkatan tiga yang menunggang motosikal dengan bersaing sesama sendiri, zig-zag dan menunduk badan.

"Pemantauan polis mendapati mereka bermula dari lampu isyarat Taman Keris Emas, Sungai Udang sehingga lampu isyarat Penjara Sungai Udang di Lebuh SPA.

"Bagaimanapun, kedua-dua penunggang motosikal itu ditahan ketika mereka berhenti di Taman Terendak Height Sungai Udang pada 1.20 pagi," katanya.

Menurutnya, pihak polis turut menahan lagi tiga lelaki termasuk calon SPM berusia 17 tahun hingga 19 tahun kerana melakukan aksi sama bermula dari tempat pelupusan sampah Krubong di Lebuh SPA sehingga lampu isyarat Krubong arah Stadium Hang Jebat.

Katanya, tujuh lagi suspek berusia 14 hingga 22 tahun ditahan dalam serbuan berasingan kerana melakukan kesalahan sama di lampu isyarat Taman Keris Emas, Sungai Udang sehingga ke lampu isyarat Penjara Sungai Udang di Lebuh SPA.

"Mereka yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Ogos 2020 @ 4:50 PM