Mohd Rashid (empat dari kiri) ketika menyampaikan bantuan sumbangan kepada penerima di Batu Pahat, hari ini. FOTO ESSA ABU YAMIN
Mohd Rashid (empat dari kiri) ketika menyampaikan bantuan sumbangan kepada penerima di Batu Pahat, hari ini. FOTO ESSA ABU YAMIN
Essa Abu Yamin


KEDUDUKAN enam Ahli Parlimen bebas blok Tun Dr Mahathir dalam Dewan Rakyat akan diperkemaskan semula memandangkan kedudukan mereka berjauhan antara satu sama lain.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Mohd Rashid Hasnon berkata, kedudukan tempat duduk mereka akan diubah kerana sering kali terlepas untuk memberikan pandangan selepas hanya Ahli Parlimen daripada pihak kerajaan dan pembangkang berpeluang mengutarakan pandangan.

"Jawatankuasa Dewan Rakyat akan bermesyuarat dalam masa terdekat bagi membincangkan hal terbabit bagi menentukan kedudukan mereka yang akan diletakkan di satu sudut atau kawasan yang sama.

"Jika diperhatikan ketika ini Ahli Parlimen Langkawi Tun Dr Mahathir Mohamad berada di bahagian hadapan dan kedudukannya dengan lima lagi yang lain agak berjauhan sekali gus menyukarkan mereka untuk berbincang sesuatu isu yang diperdebatkan dalam sidang Parlimen dan kita akan menempatkan mereka ini agar dapat duduk di satu kawasan yang berhampiran," katanya ketika sidang media selepas merasmikan Program Jom Kerja Parlimen Batu Pahat di Dewan Jubli Intan Batu Pahat, hari ini.

Turut hadir dalam program yang diadakan dengan kerjasama Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Batu Pahat itu adalah Pengarah Perkeso Johor Tong Sing Chuang dan Pengurus Perkeso Batu Pahat Suhara Mustaffa.

Mengulas mengenai program berkenaan, Mohd Rashid berkata, program itu diadakan bagi membantu mereka yang hilang pekerjaan terutama akibat wabak Covid-19.

Sementara itu, Tong berkata, program yang diadakan selama dua hari bermula kelmarin itu berjaya membantu 62 individu mendapat pekerjaan baharu.

"Mengikut rekod di Johor sejak Januari hingga semalam, seramai 4,924 individu hilang pekerjaan dan 30 peratus daripadanya berjaya dibantu oleh Perkeso untuk mendapat pekerjaan yang baharu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Ogos 2020 @ 5:13 PM