DR Noor Hisham Abdullah. FOTO arkib NSTP
DR Noor Hisham Abdullah. FOTO arkib NSTP
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


SEBANYAK 13 jangkitan baharu Covid-19 direkodkan hari ini, menjadikan jumlah keseluruhan penularan wabak itu kepada 9,083 kes dengan jumlah kes aktif 174 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, sembilan daripada keseluruhan kes baharu yang dilaporkan itu adalah berkaitan kes import membabitkan lima warga tempatan dan empat bukan warga negara.

"Sembilan kes import berkenaan membabitkan masing-masing dua kes dari China, India, Jepun, satu kes Ireland, Indonesia dan Yaman.

"Terdapat empat kes penularan dalam negara di kalangan warga tempatan dua daripadanya daripada Kluster Sivagangga di Pulau Pinang dan satu kes daripada Kluster Kurau.

Satu kes dikesan di Putrajaya iaitu daripada Kluster Meranti," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, terdapat satu kes positif Covid-19 sedang dirawat di unit rawatan rapi (ICU).

"Terdapat sembilan kes yang sudah pulih pada hari ini menjadikan jumlah kumulatif kes pulih sepenuhnya adalah sebanyak 8,784 kes atau 96.7 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

"Tiada pertambahan kes kematian berkaitan Covid-19 dilaporkan pada hari ini yang menjadikan jumlah kumulatif kes kematian kekal sebanyak 125 kes," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19


  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Ogos 2020 @ 5:22 PM