Muhammad Syarafi Suhaimi, 28, Kampung Tanggol menunjukkan ayam kampung jenis baka yang diternak kepada Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid di reban ternaknya. FOTO AHMAD RABIUL ZULKIFLI
Muhammad Syarafi Suhaimi, 28, Kampung Tanggol menunjukkan ayam kampung jenis baka yang diternak kepada Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid di reban ternaknya. FOTO AHMAD RABIUL ZULKIFLI
Ahmad Rabiul Zulkifli


BIARPUN memiliki Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Projek daripada Universiti Malaysia Pahang (UMP), seorang pemuda nekad menceburi bidang penternakan ayam kampung di kawasan rumahnya di Kampung Tanggol, Kuala Berang.

Inisiatif pemuda berusia 28 tahun mampu meraih pendapatan RM700 hingga RM1,000 sebulan selain mampu mencecah RM4,000 sebulan hasil menjual ternakannya pada musim perayaan.

Muhammad Syarafi Suhaimi, berkata, dia menganggur selama enam bulan selepas tamat pengajian kerana gagal mendapatkan kerja bersesuaian dengan kelayakannya.

"Saya mendapat idea untuk menternak ayam kampung apabila melihat kawasan tanah terbiar di sekeliling rumah dan difahamkan permintaan terhadap ayam kampung semakin meningkat.

"Pada mulanya saya hanya menternak secara kecil-kecilan dan selepas lapan bulan, saya meraih pulangan pertama hasil menjual ternakan itu.

"Menggunakan keuntungan daripada jualan pertama itu saya menambah jumlah ternakan dengan membeli induk ayam kampung terbaik seterusnya saiz penternakan semakin berkembang," katanya ketika ditemui pada Program Lawatan Ahli Parlimen Hulu Terengganu, Datuk Rosol Wahid di Ladang Ternak Ayam Kampung di Kampung Tanggol, Kuala Berang, hari ini.

Menurutnya, dia kini memiliki lebih 50 induk ayam kampung dan merancang untuk menambah jumlah ternakan hingga 100 ekor ternakan dalam tempoh terdekat.

Katanya, ayam kampung siap diproses dijual dengan harga RM17 sekilogram manakala ayam kampung jenis baka dijual pada harga RM50 hingga RM200 seekor bergantung kepada saiz.

Sementara itu, Rosol berkata, dia berharap lebih ramai anak muda terutama siswazah yang menganggur menceburi bidang penternakan atau pertanian.

Beliau berkata, peluang dalam bidang penternakan dan pertanian terbentang luas dan seharusnya anak muda yang tiada pekerjaan mengambil peluang itu sebaik mungkin.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Ogos 2020 @ 6:03 PM