Anggota bomba berusaha membuka pintu lif untuk menyelamatkan mangsa terperangkap di PPR Gayang Ria I, Tuaran petang hari ini. Foto Ihsan Pembaca
Anggota bomba berusaha membuka pintu lif untuk menyelamatkan mangsa terperangkap di PPR Gayang Ria I, Tuaran petang hari ini. Foto Ihsan Pembaca
Recqueal Raimi

DUA remaja lelaki berdepan detik cemas apabila terperangkap hampir sejam dalam lif di tingkat 18 di Program Perumahan Rakyat (PPR) Gayang Ria I, Tuaran petang hari ini.

Bagaimanapun, remaja berusia 13 dan 14 tahun terbabit berjaya diselamatkan pihak pengurusan perumahan dengan bantuan anggota Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran Abdul Qawie Abdul Gapar berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 5.35 petang dan enam anggota dikerah ke lokasi bersama jentera dan kenderaan Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS).

Menurutnya, kedua-dua remaja terbabit dikatakan terperangkap ketika menaiki lif dari aras satu selepas butangnya gagal berfungsi tetapi mereka bernasib baik butang kecemasan masih berfungsi sebelum kejadian disedari orang awam dan pihak pengurusan bangunan.

"Operasi mengambil masa selama 30 minit sehingga mangsa berjaya dibawa keluar," katanya.

Menurutnya, tiada kecederaan dialami kedua mangsa dan lif berkenaan dihentikan operasi sementara bagi tujuan penyelenggaraan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Ogos 2020 @ 9:29 PM