Foto hiasan
Foto hiasan
Muhaamad Hafis Nawawi

KONON mahu mengawal pemakanan isterinya yang menghidap kencing manis, seorang suami bersama anaknya tergamak memukul dengan tali pinggang dan rotan serta mengikat mangsa dengan rantai di kerusi dalam rumah mereka di Batu Caves di Gombak semalam.

Dalam kejadian 2 petang itu, mangsa yang berusia 67 tahun itu terpaksa meminta bantuan polis selepas ditinggalkan berseorangan di dalam rumah dalam keadaan badan dirantai di kerusi.

Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, mangsa membuat laporan selepas suaminya yang berusia lingkungan 60-an dan anak lelakinya mengunci pintu rumah dan meninggalkannya.

"Mangsa menghubungi talian kecemasan 999 dan polis yang tiba tidak lama kemudian meminta bantuan pihak bomba untuk memotong kunci mangga rumah seterusnya menyelamatkan mangsa.

"Siasatan awal polis mendapati suami dan anaknya melakukan perkara itu untuk mengawal pemakanan pengadu yang menghidap penyakit kencing manis yang serius," katanya kepada Harian Metro.

Arifai Tarawe berkata, suami dan anaknya kemudiannya ditahan polis bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan 342 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 9 Ogos 2020 @ 10:29 PM