Syaherah Mustafa


LELAKI Mesir yang dulunya chef di restoran terkemuka di Melaka, kini membuka gerai nasi Arab di kawasan terpencil di Sungai Hala, Machang.

Salaheldin Mahmoud Mohamed Mohamed, 40, yang kehilangan kerja sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) mengambil keputusan menetap di kampung isterinya, Hira Mahmod, 35, dan mencuba nasib menjual nasi Arab serta beberapa lagi juadah sejak awal Julai lalu.

Dia yang berasal daripada Alexandria, Mesir, mengakui tidak menyangka gerai yang sebelum ini hanya dikunjungi jiran tetangga kini tular selain tidak menang tangan selepas menerima lebih 100 pelanggan setiap hari.

"Pada awalnya, saya dan isteri hanya menerima tempahan sanak saudara terdekat yang menempah nasi Arab, memandangkan mereka tahu saya pakar dalam menyediakan juadah ini sehinggalah saya mengambil keputusan membuka sendiri kedai di sebelah rumah mentua.

"Lokasi gerai ini agak terpencil serta jauh dari laluan utama, namun sudah rezeki kami. Pelanggan sekarang bukan saja dari kawasan Machang tetapi Pasir Mas, Rantau Panjang, Gua Musang malah ada juga dari Terengganu.

"Setakat ini, saya menerima banyak komen positif daripada pelanggan yang kebanyakan menyukai nasi Arab yang menepati citarasa masyarakat di sini," katanya ketika ditemui di gerai nasi Arab miliknya di Kampung Sungai Hala, semalam.

Salaheldin yang hanya fasih berbahasa Inggeris berkata, antara menu yang disediakan ialah nasi Arab Mandy, Kabsa serta roti Hawawshi, selain juadah pencuci mulut lain mengikut permintaan pelanggan.

Katanya, nasi Arab dijual pada harga RM10 sehingga RM16 bergantung pada jenis lauk dan masakan manakala roti Hawawshi berharga RM9 atau RM11 jika ditambah keju.

"Saya membina sendiri tempat membakar roti menggunakan tanah liat yang saya perolehi di sekitar kampung ini. Biarpun proses menyiapkannya mencabar namun saya berpuas hati kerana ia boleh digunakan untuk menyediakan tempahan pelanggan.

"Ramai yang bertanya kenapa saya tidak menyewa premis atau restoran? Kami tiada wang mencukupi selain tidak mampu mengupah pekerja. Bagaimanapun, kami gembira berniaga di sini walaupun kawasannya agak terpencil.

"Tambahan pula, saya suka dengan keramahan orang Kelantan dan yang paling saya tidak menyangka ramai masyarakat di sini fasih berbahasa Arab menyebabkan saya berasa selesa dan tidak terasing," katanya.

Menurutnya, sebelum ke Malaysia, dia sudah berhijrah ke beberapa negara lain seperti Sudan, Russia dan Indonesia untuk mengembara serta menimba pengalaman dalam bidang masakan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Ogos 2020 @ 12:13 PM
SALAHELDIN Mahmoud bersama Hira menunjukkan nasi Arab yang dijual di gerai mereka di Kampung Sungai Hala. FOTO Syaherah Mustafa
SALAHELDIN Mahmoud bersama Hira menunjukkan nasi Arab yang dijual di gerai mereka di Kampung Sungai Hala. FOTO Syaherah Mustafa