PASUKAN keselamatan ketika melakukan sekatan jalan raya di Kampung Kuala Sanglang. FOTO Amran Hamid
PASUKAN keselamatan ketika melakukan sekatan jalan raya di Kampung Kuala Sanglang. FOTO Amran Hamid
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


PENDUDUK yang terpaksa menjalani Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) Secara Pentadbiran (Temco) di Kuala Sanglang dan Kampung Tanah Timbul mula bimbang terputus makanan dan barangan keperluan harian.

Penduduk, Saadiah Baharom, 58, berkata, kedai runcit sekitar Kuala Sanglang ditutup sejak bermula PKPD Temco kelmarin, kerana peniaga turut mengambil langkah berjaga-jaga.

Katanya, meskipun ketua keluarga atau individu yang memakai gelang khas dibenarkan keluar, mereka bimbang tiada kedai akan menjual barangan terbabit.

"Memang bimbang sebab di Kuala Sanglang tidak banyak kedai runcit dan kalau ada pun tiada yang berani buka sebagai langkah berjaga-jaga dan selalunya memang mereka tutup.

"Setakat ini bekalan makanan memang ada di rumah, ramai penduduk mula menyuarakan kebimbangan itu," katanya ketika dihubungi hari ini.

Bagi Najwa Zulkifli, 26, berkata, dia khuatir jika penduduk bakal menerima nasib sama seperti di Napoh, Kedah, apabila bekalan makanan di kawasan itu mulai berkurangan akibat PKPD Temco.

"Walaupun bantuan makanan ada dihulurkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), tetapi pada masa sama kami kena ada simpanan makanan lain di rumah.

"Setakat ini, penduduk memang tidak dapat keluar rumah kerana mematuhi perintah PKPD Temco, cuma kami risau jika satu hari nanti bekalan terputus," katanya.

Peniaga, Teoh Chin Bin, 57, berkata, sejak PKPD Temco dikuatkuasakan, pekan Kuala Sanglang menjadi sunyi dan tiada penduduk berani keluar dari kediaman rumah mereka.

"Sejak kes Covid-19 menular di sini, kami semua menjadi bimbang dan Kuala Sanglang boleh diibaratkan sebagai pekan mati.

"Penduduk mula kuarantinkan diri di rumah masing-masing dan mematuhi PKPD Temco seperti yang diarah kerajaan," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perlis, Che Ahmad Che Noor berkata, pihaknya meminta agar penduduk tidak panik dan bimbang berikutan pelaksanaan PKPD TEMCO.

Menurutnya, pihaknya dengan dibantu kerajaan negeri, Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bersama badan bukan kerajaan (NGO) Komuniti Sukarelawan Perlis (PVAC) akan turun padang bagi menyalurkan bantuan.

"Kita telah menghantar bekalan makanan sejak hari ini (semalam) dan ia diteruskan lagi esok dan jumlahnya akan ditambah dari semasa ke semasa mengikut keperluan.

"JKM menasihatkan penduduk supaya terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan kita akan membantu mangsa yang terpaksa kuarantin di rumah hingga terputus bekalan makanan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Ogos 2020 @ 12:33 PM