ABDUL Rashid dalam sidang media khas di Shah Alam. FOTO Norzamira Che Noh
ABDUL Rashid dalam sidang media khas di Shah Alam. FOTO Norzamira Che Noh
Norzamira Che Noh


PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Selangor menafikan sekeras-kerasnya dakwaan bahawa ada bahagian parti itu di negeri ini terbubar.

Ia susulan tiga ketua bahagian parti berkenaan bertindak keluar serta mendakwa bahagian yang diketuai mereka automatik terbubar sejak Sabtu lalu.

Ketua Badan Pimpinan Bersatu Selangor, Datuk Abdul Rashid Asari berkata, pembubaran bahagian tidak akan berlaku dengan tindakan ahli jawatan kuasa (AJK) dan sebahagian ahli keluar parti.

"Sijil pendaftaran bahagian dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) dan hanya jabatan itu serta Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu boleh bubar bahagian parti.

"Justeru, dakwaan mereka (ketua bahagian) bahawa bahagian terbubar apabila mereka keluar daripada adalah tidak benar.

"Bagaimanapun, jika AJK mahu keluar parti, nak bubarkan jawatankuasa bahagian, itu mereka boleh buat," katanya kepada pemberita pada sidang media khas hari ini.

Beliau berkata, kebebasan berpersatuan dilindungi Artikel 10 C Perlembagaan Persekutuan Malaysia dan sekiranya AJK sudah dibubarkan, MPT boleh mengadakan mesyuarat khas untuk lantik semula AJK yang baharu.

Ditanya adakah Bersatu Selangor terjejas susulan tindakan keluar parti yang dilakukan oleh tiga bahagian berkenaan, Abdul Rashid berkata, terdapat 54,000 keahlian parti itu di negeri ini dan hanya segelintir saja yang bertindak keluar.

Katanya, pihaknya akan meneliti perkembangan semasa di bahagian yang tiada ketua dan akan mengambil tindakan yang perlu selaras dengan perlembagaan parti untuk memastikan ahli-ahli di bahagian itu tidak teraniaya.

"Bersatu Selangor memang kecewa dengan apabila ada ketua bahagian parti mengambil keputusan untuk keluar dari parti bagaimanapun kami menerima keputusan mereka dengan hati yang terbuka," katanya.

Dalam pada itu, beliau yang juga Naib Presiden Bersatu Malaysia memaklumkan permohonan untuk mendaftarkan Perikatan Nasional secara sah sudah dihantar kepada ROS, minggu lalu.

Menurutnya, keputusan mengenai pendaftaran secara rasmi itu akan diketahui dalam masa terdekat.

Pada Sabtu lalu, Ketua Bahagian Bersatu Kuala Selangor, Mohd Shaid Rosli mengumumkan keluar dari parti berkenaan sebagai tanda sokongan kepada bekas Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Langkah itu diikuti, Ketua Bahagian Klang, Datuk Syed Abdillah Syed Abdul Aziz dan Ketua Bahagian Bangi, Mohd Sufian Mat Junus.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Ogos 2020 @ 1:03 PM