Amir Abd Hamid


MENTERI Luar, Datuk Seri Hishammuddin Hussein sekali lagi mengaku salah dan meminta maaf berikutan perbuatannya menghisap vape di Dewan Rakyat, minggu lalu.

Hishammuddin (BN-Sembrong) menjelaskan beliau mengaku bahawa apa yang salah tetap salah dan dia sudah memohon maaf berhubung keterlanjuran perbuatannya, sebelum ini.

Beliau juga mendedahkan bahawa sudah membayar denda kerana melakukan kesalahan berkenaan.

"Saya sudah menyatakan apa yang salah tetap salah. Saya juga sudah mengakui kesilapan dan saya sudah meminta maaf.

"Berkaitan pasal denda, saya sudah dikompaun dan saya sudah pun membayarnya. Kalau Ahli Parlimen Kluang masih nak mainkan politik di dewan ini, banyak lagi untuk kita bincangkan di sini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika mencelah sesi penggulungan perbahasan Titah Diraja Menjunjung Kasih Yang di-Pertuan Agong di Dewan Rakyat, hari ini.

Isu berkenaan pada mulanya ditimbulkan Wong Shu Qi (DAP-Kluang) menerusi Peraturan Mesyuarat 41(d) yang menggariskan bahawa ahli Dewan Rakyat tidak dibenarkan merokok di dalam kawasan Parlimen.

HISHAMMUDDIN (gambar arkib NSTP). FOTO Mohd Fadli Hamzah
HISHAMMUDDIN (gambar arkib NSTP). FOTO Mohd Fadli Hamzah

Beliau berkata, perkara itu dibangkitkan sekali lagi, meskipun diutarakan pada minggu lalu kerana tindakan sedemikian, khususnya apabila membabitkan Jemaah Menteri berupaya memberi tanggapan buruk terhadap imej negara.

"Apa yang nampak di luar adalah kerajaan ini wujudkan dua darjat kerana rakyat marhaen di luar didenda dan diambil tindakan keras, tetapi YB (Yang Berhormat) di sini tidak didenda atau diambil tindakan keras.

"Saya bangkitkan kerana satu permohonan maaf secara rasmi perlu dibuat dalam dewan ini," katanya.

Keliru dengan gesaan sedemikian, Hishammuddin berkata, permohonan maaf di luar menerusi kenyataan susulan kesalahan merokok itu sudah dilakukan, malah kekesalan sama diutarakan di dalam dewan.

"Tuan Yang Dipertua, saya sudah nyatakan minta maaf dan saya nyatakan maaf dalam dewan ini, apa lagi yang Kluang nak?" katanya sekali gus mencetuskan suasana hingar ketika sesi penggulungan bagi Jabatan Perdana Menteri (JPM).

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon, yang mengendalikan isu itu berterima kasih kepada Shu Qi dan mengesahkan permohonan maaf daripada Hishammuddin.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Ogos 2020 @ 1:13 PM