SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sukacita dengan operasi LZS yang telus tanpa penyelewengan. FOTO ihsan SELANGOR ROYAL OFFICE
SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah sukacita dengan operasi LZS yang telus tanpa penyelewengan. FOTO ihsan SELANGOR ROYAL OFFICE
Ruwaida Md Zain


SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berkenan menzahirkan ucapan tahniah dan terima kasih kepada Lembaga Zakat Selangor (LZS) yang melaksanakan tanggungjawab dengan baik dalam menguruskan hal ehwal kutipan dan agihan wang zakat di negeri itu.

Menerusi kenyataan Selangor Royal Office, baginda sukacita dengan operasi LZS yang telus tanpa penyelewengan selama ini.

Titah baginda, ini membolehkan agihan dibuat dengan lebih efisien dalam menyalurkan zakat kepada golongan memerlukan seperti asnaf, fakir miskin dan mualaf pada setiap tahun.

"Ini termasuk keprihatinan LZS dalam menyalurkan bantuan khas zakat Covid-19, baru-baru ini.

"Baginda berharap LZS akan terus meningkatkan usaha untuk kekal relevan dalam menguruskan kutipan dan agihan zakat dengan lebih baik, di samping sentiasa memberitahu masyarakat ke mana wang zakat diagihkan," menurut Facebook rasmi Istana Selangor itu.

Secara keseluruhan, sehingga kini jumlah asnaf dan fakir miskin menerima bantuan zakat di Selangor mencapai 57,000 keluarga.

Sementara itu, jumlah kutipan zakat LZS tahun lalu mencecah RM855 juta dengan agihan mencapai jumlah RM868 juta.

Bagi tempoh Januari hingga Mei tahun ini, jumlah kutipan berada pada RM341 juta dengan RM337 juta daripadanya diagihkan kepada semua golongan asnaf memerlukan.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Ogos 2020 @ 9:31 PM