HASIL keluaran pertanian dari Thailand termasuk daun limau purut, akar jari dan daun limau yang dirampas oleh pihak MAQIS kerana tidak mempunyai dokumen. FOTO Ihsan MAQIS
HASIL keluaran pertanian dari Thailand termasuk daun limau purut, akar jari dan daun limau yang dirampas oleh pihak MAQIS kerana tidak mempunyai dokumen. FOTO Ihsan MAQIS
Zuliaty Zulkiffli

JABATAN Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (MAQIS) merampas barangan keluaran pertanian yang cuba diseludup ke negara ini tanpa dokumen sah, hari ini.

Pengarah MAQIS Kedah, Lily Rosalind Paul berkata, antara keluaran pertanian terbabit termasuk 70 kilogram (kg) daun limau, 50 kg akar jari (finger root) dan 20 kg daun limau purut.

Menurutnya, barangan terbabit ditemui dalam sebuah lori ketika melalui pemeriksaan di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS), Bukit Kayu Hitam, jam 2 petang.

"Barangan keluaran pertanian itu dipercayai dibawa dari Thailand tanpa dokumen sah seperti permit import daripada MAQIS dan Sijil Fitosanitasi dari negara asal.

"Kesemua barangan yang dirampas bernilai RM1,970," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya, siasatan dibuat mengikut Sekyen 11(1) Akta Perhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia [Akta 728] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 11(3) akta sama.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Ogos 2020 @ 9:43 PM