LELAKI warga emat maut selepas motosikal ditunggangnya dilanggar kereta dipandu lelaki dipercayai di bawah pengaruh dadah di Kampung Serapoh di Jalan Parit, Parit. FOTO Ihsan PDRM
LELAKI warga emat maut selepas motosikal ditunggangnya dilanggar kereta dipandu lelaki dipercayai di bawah pengaruh dadah di Kampung Serapoh di Jalan Parit, Parit. FOTO Ihsan PDRM
Noor Hidayah Tanzizi


LELAKI warga emas maut selepas motosikal ditunggangnya berlanggar dengan kereta dipandu seorang lelaki dipercayai di bawah pengaruh dadah di Kampung Serapoh di Jalan Parit, Parit, hari ini.

Dalam kejadian 8.40 pagi itu, mangsa, Razali @ Nazaei Yaacob, 82, yang menunggang motosikal Demak 90CC meninggal dunia di lokasi kejadian akibat parah di kepala.

Ketua Polis Daerah Perak Tengah, Superintendan Barudin Wariso berkata, ketika kejadian, warga emas itu dalam perjalanan dari rumah ke pasar di Parit.

Menurutnya, apabila tiba di lokasi kejadian, kereta Perodua Kelisa dipandu lelaki berusia 46 tahun masuk ke laluan bertentangan di selekoh lalu berlanggar dengan motosikal mangsa.

"Mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian dan mayatnya dibawa ke Unit Forensik Hospital Changkat Melintang untuk bedah siasat.

"Pemandu kereta berkenaan tidak cedera namun dia ditahan selepas pemeriksaan menemui dua paket plastik lutsinar disyaki methamphetamine dan peralatan menghisap dadah di dalam kotak rokok di tangan kanannya," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Beliau berkata, ujian saringan awal air kencing dijalankan mendapati pemandu kereta itu positif methamphetamine dan semakan mendapati dia tiada sebarang rekod kesalahan lampau.

Beliau berkata, kereta lelaki itu ditahan untuk pemeriksaan Pusat Pemeriksaan Berkomputer (PUSPAKOM) dan suspek akan direman di Mahkamah Majistret Parit, esok.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1986, Seksyen 12(2) dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Ogos 2020 @ 9:48 PM