POKOK besar yang menghempap rumah Mohd di Paka, Dungun, hari ini. FOTO Rosli Ilham.
POKOK besar yang menghempap rumah Mohd di Paka, Dungun, hari ini. FOTO Rosli Ilham.
Rosli Ilham


"KAMI bersyukur pokok tumbang itu tidak menghempap kami empat beranak," kata Mohd Abdullah, selepas rumahnya ditimpa pokok tumbang dalam kejadian ribut dan hujan lebat di kawasan Bukit Merah, Paka, Dungun, hari ini.

Kejadian pada 5.45 petang itu turut merosakkan 30 rumah di beberapa kawasan sekitar, selain dua kereta dihempap pokok tumbang.

Mohd, 63, yang bekerja sebagai pemotong rumput berkata, ketika kejadian isterinya, Noraini Mohd Zin, 51, dan dua anak mereka berusia 20 dan 15 tahun berada di ruang tamu rumah.

"Ketika itu hujan lebat, sebaik saya melangkah masuk ke rumah, satu panahan petir kuat berlaku sebelum sebatang pokok mempelam besar menimpa rumah.

"Berikutan itu, atap, kayu dan siling rumah runtuh dan nyaris menimpa kami empat beranak," katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Menurutnya, berikutan itu barangan seperti tilam dan perabot rosak akibat dipenuhi air hujan.

Katanya, mereka kini tiada tempat berteduh manakala barangan di dalam rumah dibasahi air hujan.

"Saya tak tahu di mana nak cari duit membaiki rumah yang rosak itu kerana pendapatan sebagai pemotong rumput hanya cukup makan saja.

"Harap pihak berkenaan dapat membantu dan saya reda dengan kejadian ini serta bersyukur kerana kami tidak cedera," katanya.

Pegawai Operasi Balai Bomba Dan Penyelamat (BBP) Paka, Pegawai Bomba Kanan 11 Norhazri Mohd Nor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 6 petang.

Menurutnya, sepasukan lima anggota dengan sebuah jentera bergegas ke lokasi kejadian dan pihaknya selesai melakukan kerja mengalih dua pokok besar yang menimpa dua kereta di Kawasan Industri Paka pada 8 malam.

"Kedua-dua pokok besar terbabit menimpa dua kereta pekerja sebuah syarikat kejuruteraan di situ yang meletakkan kenderaan mereka berhampiran pokok terbabit.

"Pemilik kedua-dua kenderaan itu terselamat kerana masih berada di tempat kerja," katanya.
Sementara itu, Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung MPKK, Taman Indah Permai, Bukit Merah, Rayah Mohd berkata, pihaknya sedang mengumpul maklumat bagi mengetahui jumlah sebenar rumah terbabit dalam kejadian itu.

Menurutnya, mengenai rumah Mohd yang rosak teruk, pihaknya akan menempatkan keluarga terbabit di rumah lain untuk sementara waktu dan mengusahakan bantuan secepat mungkin.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 10 Ogos 2020 @ 10:17 PM