GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Mohd Khidir Zakaria


HASRAT seorang pekerja kontrak membuang air kecil dalam semak terbantut apabila dia ternampak mayat berulat di simpang hadapan Pantai Cahaya Negeri, Port Dickson, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, ilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Port Dickson menerima maklumat penemuan satu mayat berulat di dalam semak itu pada 4.30 petang.

"Individu yang menjumpai mayat itu adalah pekerja kontrak membuat longkang di tepi kedai tom yam.

"Pekerja kontrak itu memaklumkan kepada pihak polis yang bergegas ke tempat kejadian untuk siasatan lanjut," katanya.

Beliau berkata, hasil siasatan awal polis mendapati mayat itu dipercayai lelaki dan sudah beberapa hari berada di situ.

Menurutnya, butiran mayat lelaki itu tidak dapat dipastikan berikutan tiada dokumen pengenalan diri ditemui.

"Setakat ini tiada unsur jenayah dikesan dan mayat dibawa ke Hospital Port Dickson untuk tujuan bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut (SDR).

"Sehubungan itu, polis meminta mana-mana individu yang kehilangan saudara mara untuk tampil ke IPD Port Dickson bagi membantu siasatan," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Ogos 2020 @ 12:14 AM