GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO Arkib NSTP
Muhaamad Hafis Nawawi


MALAYSIA setanding dengan Korea Selatan dari segi jumlah ujian saringan Covid-19, kata Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata, berdasarkan statistik dari Universiti Oxford, United Kingdom, Malaysia mencatatkan 31.29 peratus bagi ujian untuk setiap 1, 000 penduduk.

Katanya, Korea Selatan pula merekodkan 31.14 peratus.

Menurutnya, ia seterusnya menunjukkan keputusan positif 0.9 peratus bagi kedua-dua negara.

"Perbandingan menggunakan penerbitan ini jelas menunjukkan Malaysia setanding Korea Selatan," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Beliau mengulas dakwaan bahawa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kurang menjalankan ujian Covid-19, jika dibandingkan dengan negara lain.

Mengulas lanjut, Dr Noor Hisham berkata, berdasarkan statistik sama, Thailand hanya menjalankan 5.49 peratus ujian untuk 1, 000 penduduk.

Katanya, negara berkenaan sudah diisytiharkan bebas jangkitan Covid-19 untuk tempoh 70 hari.

"Kita lihat Amerika Syarikat dan Singapura, bilangan ujian untuk 1, 000 penduduk, masing-masing adalah 180.22 dan 111.22 peratus.

"Ia lebih tinggi daripada Malaysia, Korea Selatan dan Thailand, pun begitu kadar positif adalah tinggi untuk kedua-dua negara (berkenaan) adalah 8.1 peratus.

"Ini bermakna mereka (negara berkenaan) perlu laksanakan lebih banyak lagi ujian pengesanan. Ini kerana dengan kadar positif yang tinggi kerana lebih ramai yang belum dikesan lagi dalam komuniti," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, negara dengan prestasi terbaik adalah New Zealand dengan bilangan ujian adalah 100.98 untuk 1, 000 penduduk dan kadar positif amat rendah iaitu hanya 0.3 peratus dan sudah mencatatkan kes sifar lebih daripada 100 hari.

"Saya harap penjelasan ini berdasarkan fakta dan angka dapat meyakinkan rakyat bahawa di negara kita, bilangan ujian yang dilaksanakan adalah memadai," katanya.

Menurutnya, ujian saringan survelan dan melalui kes Influenza (ILI) serta Jangkitan Pernafasan Akut Teruk ( SARI) dan kes sebelum pembedahan menunjukkan kadar positif adalah lebih rendah lagi iaitu 0.05 peratus sahaja.

"Lantas persepsi yang menuduh kita kurang menjalankan ujian saringan adalah tidak berasas dan tidak benar sama sekali," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Ogos 2020 @ 9:04 AM