BERNAMA

BEKAS Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng dan ahli perniagaan Phang Li Koon dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Butterworth, hari ini atas pertuduhan rasuah.

Guan Eng, 60, dan Phang, 48, masing-masing mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Azhari Abdul Hamid.

Guan Eng didakwa sebagai seorang pegawai badan awam iaitu Ketua Menteri Pulau Pinang dan Pengerusi Lembaga Tawaran Perbadanan Pembangunan Pulau Pinang (PDC), menggunakan kedudukan untuk suapan, iaitu wang berjumlah RM372,009 bagi isterinya Betty Chew Gek Cheng melalui syarikat Excel Property Management & Consultancy Sdn Bhd.

Lim didakwa melakukan kesalahan itu dengan cara mengambil tindakan memastikan syarikat Magnificent Emblem Sdn Bhd ditawarkan Jemputan Cadangan Perkampungan Pekerja di Lot 631, Mukim 13, Juru, Seberang Perai Tengah dan Sebahagian Lot 282, Mukim 13, Batu Kawan, Seberang Perai Selatan, Pulau Pinang bernilai RM11,610,000 yang Chew secara tidak langsung mempunyai kepentingan.

Ahli Parlimen Bagan itu dituduh melakukan kesalahan berkenaan antara 19 Ogos 2013 dan 3 Mac 2016, di pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang, Tingkat 28, Komtar, di George Town, Pulau Pinang.

Pertuduhan dikemukakan di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (SPRM) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Ia membawa hukuman penjara selama tempoh tidak melebihi 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000, mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

GUAN Eng (kiri) dan Chew ketika hadir di mahkamah, hari ini. FOTO Danial Saad
GUAN Eng (kiri) dan Chew ketika hadir di mahkamah, hari ini. FOTO Danial Saad

Berita berkaitan

Guan Eng, isteri dijangka berdepan pertuduhan baharu

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Ogos 2020 @ 10:23 AM