POLIS menahan suspek wanita di hadapan sebuah restoran. FOTO Juwan Riduan
POLIS menahan suspek wanita di hadapan sebuah restoran. FOTO Juwan Riduan
Juwan Riduan


DUA wanita ditahan selepas terbabit dalam kegiatan perjudian menerusi 'Ops Dadu' di dua premis berasingan di Jalan Kompleks Sinsuran, Kota Kinabalu, semalam.

Operasi jam 6 malam itu dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu selepas menerima maklumat orang awam dan risikan.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, tangkapan pertama membabitkan seorang wanita berusia 51 tahun.

"Wanita terbabit ditahan selepas disyaki terbabit dalam aktiviti pertaruhan loteri awam tanpa lesen.

"Polis turut merampas telefon bimbit, mesin pencetak mini, kertas putih dan wang tunai sebanyak RM230," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Sementara itu, Habibi berkata, seorang wanita berusia 37 tahun ditahan di lokasi sama selepas didapati terbabit dalam aktiviti judi atas talian.

"Turut dirampas telefon bimbit, wang tunai sebanyak RM34 untuk membantu siasatan.

"Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 4A(a) Akta Rumah Judi Terbuka (ARJT) 1963 dan Seksyen 4(1)(c) akta yang sama," katanya.

Habibi berkata, pihaknya akan terus memantau dan membanteras kegiatan perjudian tanpa lesen khususnya di sekitar bandar raya ini.

Katanya, orang ramai yang mempunyai maklumat juga digesa supaya memberi kerjasama dan menyalurkan maklumat kepada polis untuk tindakan segera.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Ogos 2020 @ 11:06 AM