PERKAMPUNGAN Orang Asli di Pos Pulat, Pos Tohoi dan Kampung Wias akan dipindahkan pada 2025, sebaik projek empangan hidroelektrik Neggiri dimulakan. FOTO Arkib NSTP
PERKAMPUNGAN Orang Asli di Pos Pulat, Pos Tohoi dan Kampung Wias akan dipindahkan pada 2025, sebaik projek empangan hidroelektrik Neggiri dimulakan. FOTO Arkib NSTP
Nor Fazlina Abdul Rahim

TIGA perkampungan Orang Asli di Gua Musang membabitkan 1,115 penduduk akan dipindahkan pada 2025, sebaik projek empangan hidroelektrik Neggiri dimulakan.

Timbalan Menteri Besar Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, ia membabitkan Pos Pulat, Pos Tohoi dan Kampung Wias.

Katanya, projek pembinaan empangan berkenaan sudah diluluskan oleh kerajaan negeri dan Persekutuan.

"Kerja-kerja awal yang akan dilaksanakan adalah dengan menyediakan penempatan baru kepada perkampungan Orang Asli yang terjejas secara langsung itu.

"Kerja-kerja awal akan bermula pada Mac 2022 membabitkan pembinaan penempatan semula Orang Asli termasuk rumah, sekolah dan kemudahan asas yang lain.

"Ia dijangka akan selesai pada Mac 2025. Apabila selesai, barulah penduduk tiga kampung ini akan dipindahkan kerana penempatan asal mereka akan tenggelam apabila air dialirkan ke empangan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penggulungan Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan di Kota Bharu, hari ini.

Terdahulu, perkara itu dibangkitkan oleh Ab Aziz Yusoff (BN-Nenggiri) yang meminta kerajaan negeri memberi penjelasan mengenai projek berkenaan dan kesan terhadap masyarakat Orang Asli di sekitar kawasan itu.

Mengulas lanjut, Mohd Amar (PAS-Panchor) berkata, dua kawasan hutan simpan berdekatan sudah dikenal pasti oleh pihak kerajaan untuk dijadikan penempatan baru bagi tiga penduduk Orang Asli berkenaan.

Katanya, ia meliputi dua kawasan yang dipanggil sebagai plot A berkeluasan 288 hektar dan plot B dengan keluasan 534 hektar.

"Penduduk Pos Pulat dan Kampung Wias akan dipindahkan ke penempatan plot A, manakala plot B akan menempatkan penduduk dari Pot Tohoi.

"Kedua-dua plot ini terletak di kawasan hutan simpan berhampiran yang dikenal pasti oleh kerajaan dan mendapat persetujuan masyarakat Orang Asli yang terbabit," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Ogos 2020 @ 5:04 PM