KEADAAN bangunan SJKC Malim, Melaka yang mengalami kerosakan teruk susulan kejadian ribut yang melanda beberapa kawasan di Melaka. FOTO Iqmal Haqim Rosman
KEADAAN bangunan SJKC Malim, Melaka yang mengalami kerosakan teruk susulan kejadian ribut yang melanda beberapa kawasan di Melaka. FOTO Iqmal Haqim Rosman
Amir Mamat


KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) akan menyalurkan peruntukan kecemasan untuk membaik pulih struktur dua blok Sekolah Rendah Jenis Kebangsaan (SJKC) Malim, Melaka, yang terjejas teruk akibat ribut, hari ini.

Timbalan Menteri Pendidikan, Datuk Dr Mah Hang Soon berkata, pihaknya juga meluluskan permohonan penyelenggaraan bangunan berjumlah RM105,000 dengan serta-merta.

Menurutnya, permohonan itu sudah dibuat lebih awal oleh pengurusan sekolah berkenaan.

Beliau berkata, kerja membaik pulih kerosakan bangunan berkenaan perlu dilakukan segera bagi memastikan sesi persekolahan tidak terganggu.

"Setakat ini kita meluluskan apa yang dipohon oleh pihak sekolah sebelum ini berjumlah RM105,000, pada masa sama, kita juga akan menyalurkan bantuan kecemasan untuk membaiki kerosakan blok bangunan sekolah yang dilanda ribut.

"Saya juga dimaklumkan oleh Ketua Menteri, Datuk Sulaiman Md Ali bahawa kerajaan negeri turut menyalurkan bantuan daripada Tabung Bencana Negeri.

"Ia menunjukkan keprihatinan kerajaan dalam membantu mengurangkan beban mangsa bencana ini," katanya selepas melawat sekolah berkenaan, hari ini.

KEADAAN kelas di SJKC Malim, Melaka yang mengalami kerosakan teruk. FOTO Iqmal Haqim Rosman
KEADAAN kelas di SJKC Malim, Melaka yang mengalami kerosakan teruk. FOTO Iqmal Haqim Rosman

Turut mengiringi beliau adalah Pengarah Pendidikan Negeri, Dr Mohd Azam Ahmad.

Dalam kejadian jam 10.10 pagi hari ini, seramai 28 murid SRJKC Malim, cedera selepas dihempap siling yang runtuh akibat hujan lebat dan ribut.

Mohd Azam berkata, kejadian berlaku ketika waktu rehat dan semua 830 murid berkenaan berada dalam kelas masing-masing sebagai mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

Bagaimanapun, semua murid tahun lima dan dua yang cedera hanya menerima rawatan sebagai pesakit luar di Hospital Melaka kerana tidak mengalami kecederaan serius.

"Saya bersyukur kerana selepas kejadian, guru cepat mengambil tindakan dengan memindahkan murid ke dewan sekolah dan Alhamdulillah murid semua selamat," katanya.

Mengulas lanjut, Mohd Azam berkata, kejadian itu menyebabkan dua blok bangunan sekolah berkenaan terjejas.

Katanya, Jabatan Pendidikan Negeri sudah mengeluarkan arahan penangguhan sesi persekolahan kepada semua murid selama dua hari sehingga esok.

Beliau berkata, langkah itu bagi membolehkan kerja-kerja pembersihan dilakukan selain memberi ruang kepada pasukan keselamatan untuk menjalankan siasatan, sama ada blok bangunan berkenaan selamat diduduki atau sebaliknya.

Berita berkaitan

6 murid cedera dihempap siling [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Ogos 2020 @ 5:08 PM