BANGUNAN Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia. FOTO Asyraf Hamzah
BANGUNAN Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia. FOTO Asyraf Hamzah
Zatul Iffah Zolkiply


SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Terengganu sedang menyiasat dakwaan seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang dikatakan terbabit dengan rasuah berjumlah RM500,000 bagi kelulusan projek pasir di negeri ini.

Pengarah SPRM Terengganu Ruslan Che Amad berkata, isu berkenaan sudah berada dalam pengetahuan pihaknya sebelum ia tular.

SPRM negeri juga sedang mengumpul maklumat membabitkan isu berkenaan.

"Isu ini dalam pengetahuan SPRM sebelum ini dan kita harap tiada pihak yang menyebarkan sebarang maklumat di media sosial kerana tindakan sedemikian sedikit sebanyak mengganggu siasatan.

"Jika ada pihak mempunyai bukti yang dapat membantu siasatan, boleh tampil ke SPRM kerana kita (SPRM) tidak mengambil tindakan dengan apa yang tular sebaliknya mengumpul bukti yang kukuh sebelum sebarang tindakan diambil," katanya dihubungi di sini, hari ini.

Media semalam melaporkan, ADUN Kemasik, Ir Saiful Azmi Suhaili menafikan dakwaan yang tersebar di media sosial mengaitkan dirinya terbabit dengan rasuah berjumlah RM500,000 bagi kelulusan projek pasir di negeri ini.

Ir Saiful Azmi berkata, tindakan sewajarnya akan diambil selepas meneliti butiran dan berbincang dengan peguam untuk tindakan lanjut termasuk saman.

Terdahulu, beberapa tangkap layar yang didakwa perbualan melalui aplikasi WhatsApp antara pegawai kanan sebuah institusi milik kerajaan negeri dengan seorang individu yang dipercayai seorang kontraktor tular di media sosial.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Ogos 2020 @ 5:15 PM