X
RAKAMAN video yang tular pada 7 Julai lalu. FOTO tular media sosial
RAKAMAN video yang tular pada 7 Julai lalu. FOTO tular media sosial
BERNAMA

LELAKI warga Nepal dihukum penjara empat bulan oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur, hari ini, kerana memukul seorang pengawal keselamatan warga negara sama yang rakaman videonya tular di media sosial, dua minggu lalu.

Majistret Wong Chai Sia menjatuhkan hukuman itu terhadap Ram Gopal Murau, 34, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan ke atasnya dalam bahasa Malaysia.

Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani hukuman penjara itu bermula dari tarikh tertuduh ditahan pada 3 Ogos lalu.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa dengan sengaja memukul Eslam Husen, 26, menggunakan cota kayu sehingga menyebabkan kecederaan kepada mangsa di ruang letak kereta sebuah kompleks membeli-belah di Taman Melati, pada jam 12 tengah hari, 7 Julai lalu.

Dia dituduh mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 10 tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Wan Ahmad Hakimi Wan Ahmad Jaafar memohon mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal berbentuk pengajaran agar tertuduh tidak mengulangi kesilapan sama di masa akan datang manakala tertuduh, yang tidak diwakili peguam, merayu hukuman ringan.

Menerusi video berdurasi 44 saat bertarikh 7 Julai lalu itu, kelihatan mangsa dipukul berkali-kali dengan cota kayu selain ditampar dan ditumbuk oleh suspek.

Berita berkaitan

Mangsa pukul beri keterangan

'Samseng' Nepal dah kena cekup

Pukul pengawal keselamatan: Dua warga Nepal disekat keluar

'You mari sini cari kerja ke cari masalah'

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Ogos 2020 @ 5:55 PM