KEBANYAKAN operator beralih dengan memperkenalkan aplikasi judi masing-masing secara dalam talian. FOTO Arkib NSTP
KEBANYAKAN operator beralih dengan memperkenalkan aplikasi judi masing-masing secara dalam talian. FOTO Arkib NSTP
Mohamed Farid Noh


SINDIKET judi dalam talian yang aktif di Johor dikesan mensasarkan golongan muda dan kaya dengan menawarkan hadiah wang tunai lumayan.

Ketua Biro MCA Penyelarasan Hal Ehwal Kerajaan, Michael Tay Chee Boon berkata, pihaknya menerima banyak aduan daripada keluarga dan individu yang terpedaya dengan tawaran berkenaan namun akhirnya terpaksa berhutang selain kehilangan harta benda.

Katanya, jika dulu sindiket aktif menerusi mesin slot di premis namun kini mereka beralih ke alam maya menerusi Internet.

"Sekarang premis judi mesin slot semakin pupus di negeri ini kerana kebanyakan operator beralih dengan memperkenalkan aplikasi judi masing-masing secara dalam talian.

"Apatah lagi kerajaan negeri sudah tidak mengeluarkan lesen pusat hiburan keluarga sejak 2014 di samping Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang memperhebatkan operasi hampir setiap hari di Johor.

"Selalunya, operator atau penganjur judi akan mendekati golongan sasaran mereka iaitu generasi muda dari kalangan kaya sama ada secara bersemuka atau menghantar mesej rambang menawarkan hadiah lumayan jika menyertai aplikasi judi online mereka.

"Kebanyakan aktiviti judi online juga dijalankan sama ada di rumah atau restoran serta kafe persendirian dengan seorang 'kaki' akan hadir bagi menjual kad tambah nilai kepada tahi judi bagi membolehkan pemain menawarkan pertaruhan mereka sekali gus mengelak dikesan pihak berkuasa, " katanya ketika dihubungi.

Sementara itu, Ketua Polis Johor, Datuk Ayub Khan Mydin Pitchay berkata, polis mengadakan operasi hampir setiap hari bagi menumpaskan sindiket judi dalam talian di negeri ini.

Katanya, kewujudan premis judi mesin slot juga sudah semakin berkurangan di negeri ini berikutan kekerapan operasi yang dilakukan polis.

"Bukanlah saya kata sudah tidak ada langsung judi mesin slot ini namun ia tidak seperti dulu berikutan operator sudah beralih kepada judi online.

"Namun, orang awam yang mempunyai maklumat diminta menyalurkan maklumat kewujudan lokasi judi kepada Polis Johor sama ada di akaun Facebook rasmi kami atau akaun Facebook saya sendiri untuk kita kekang habis-habisan aktiviti judi ini," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Ogos 2020 @ 7:39 PM