KEADAAN kenderaan yang rosak teruk akibat dihempap pokok susulan kejadian ribut yang melanda di beberapa kawasan di Melaka. FOTO IQMAL HAQIM ROSMAN
KEADAAN kenderaan yang rosak teruk akibat dihempap pokok susulan kejadian ribut yang melanda di beberapa kawasan di Melaka. FOTO IQMAL HAQIM ROSMAN
Amir Mamat


SEBANYAK 33 kawasan dalam daerah Melaka Tengah terjejas selepas dilanda ribut dan hujan lebat, pagi tadi.

Selain kerosakan beberapa rumah penduduk terutama di bahagian bumbung diterbangkan angin, beberapa jalan utama serta jalan negeri turut terjejas apabila dihalang pokok yang tumbang.

Dalam kejadian jam 9 pagi itu, Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Malim di sini turut rosak dilanda angin kencang, menyebabkan 28 murid Tahun Dua dan Tahun Lima mengalami cedera ringan terkena serpihan siling runtuh.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Melaka Lt Kol (PA) Effendy Ali berkata, antara kawasan terjejas adalah Taman Melaka Baru, Pulau Gadong, Pasar Borong Batu Berendam, Kampung Batu Berendam Taman Melaka Baru dan Jalan wangi.

Katanya, turut terjejas di Jalan Alor Gajah-Melaka Tengah-Jasin (AMJ) di Cheng, Klinik Desa Batu Berendam, Lebuh AMJ Pulau Gadong, Jalan Bachang - Batu Berendam dan Jalan Cheng, Taman Melaka Baru, Taman Malin Jaya dan Taman MGBM.

"Beberapa kediaman yang rosak dihempap pokok termasuklah di Kampung Bakar Batu, Taman Tanjung Minyak, Batu 4 Jalan Batu Berendam serta Taman Seri Mangga.

"Setakat ini, tiada laporan kecederaan penduduk akibat kejadian itu, tetapi saya boleh sahkan tiada kemalangan jiwa berlaku," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Effendy berkata, kerja pembersihan pokok tumbang sudah dilaksanakan oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) sejak tengah hari tadi.

Katanya, bagaimanapun pihaknya sentiasa melakukan pemantauan di semua kawasan berkenaan bagi memastikan kegiatan harian orang awam tidak tergendala

"Saya berterima kasih kepada PBT serta orang ramai yang memberikan kerjasama sepenuhnya dalam kerja pembersihan itu," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 11 Ogos 2020 @ 7:40 PM