GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hazira Ahmad Zaidi


TIGA maut dalam kemalangan membabitkan tiga kenderaan berhampiran masjid Kampung Pahi, Kuala Krai, hari ini.

Komander Operasi Pegawai Bomba Kanan II (PBKII) Che Razak Harun dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Krai berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.54 pagi sebelum lapan anggota dari BBP Kuala Krai bergegas ke lokasi.

Katanya, kemalangan yang berlaku itu membabitkan enam mangsa daripada tiga kenderaan iaitu sebuah lori, Perodua Axia dan pacuan empat roda Mitsubishi Triton menyebabkan tiga mangsa meninggal dunia di lokasi kejadian.

"Difahamkan sebelum kejadian, tayar ganti lori tiba-tiba terpelanting ke sebelah kanan jalan dan terkena kereta Mitubishi Triton menyebabkan kereta berkenaan berpusing lalu melanggar lori.

"Pada masa sama, kereta Perodua Axia yang berada di belakang Mitsubishi Triton yang tidak sempat mengelak turut melanggar lori menyebabkan kereta Perodua Axia terbakar 100 peratus.

"Walau bagaimanapun, pemandu lori serta pemandu dan penumpang Perodua Axia terselamat, namun tiga mangsa yang berada di dalam Mitsubishi Triton meninggal dunia di lokasi kejadian," katanya ketika dihubungi, di sini, hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Ogos 2020 @ 8:11 AM