MOHD Yusri (kiri) mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah Mahkamah Sesyen Johor Bahru. FOTO Omar Ahmad.
MOHD Yusri (kiri) mengaku tidak bersalah atas dua pertuduhan meminta dan menerima rasuah Mahkamah Sesyen Johor Bahru. FOTO Omar Ahmad.
Omar Ahmad


KOPERAL polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Johor Bahru, hari ini atas dua pertuduhan meminta dan menerima wang suapan bernilai RM3,500 empat tahun lalu.

Tertuduh, Mohd Yusri Borhan, 34, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Kamarudin Kamsun.

Mengikut pertuduhan pertama, dia didakwa meminta wang suapan bagi dirinya berjumlah RM2,000 secara bulanan daripada seorang wanita pada 7 petang, 16 Disember 2016.

Kesalahan itu dilakukan di Balai Polis Sentral, Ibu Pejabat Polis daerah Johor Bahru Selatan (IPD JBS) sebagai dorongan tertuduh yang pada waktu itu bertugas di Cawangan Pencegahan Jenayah IPD JBS untuk memberikan maklumat kepada wanita berkenaan jika terdapat serbuan dan operasi yang dilakukan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menerima RM1,500 daripada individu sama pada 2.40 petang, 9 Januari 2017 di Jalan Meldrum bagi tujuan serupa.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 16(a) B dan Seksyen 17(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun atau denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan, mengikut mana mana lebih tinggi jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa SPRM Yunus Mohamed, manakala tertuduh diwakili peguam Mohd Fazaly Ali.

Hakim menetapkan RM14,000 sebagai jaminan dengan isterinya sebagai penjamin dan tertuduh diminta melaporkan diri setiap bulan di pejabat SPRM berhampiran.

Mahkamah menetapkan 14 September depan sebagai tarikh sebutan semula kes.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Ogos 2020 @ 10:47 AM