ASIAH menunjukkan kad pengenalan suaminya yang hilang sejak semalam. FOTO Ramli Ibrahim.
ASIAH menunjukkan kad pengenalan suaminya yang hilang sejak semalam. FOTO Ramli Ibrahim.
Ramli Ibrahim


WARGA emas dari Kampung Baru, Jeram Tekoh, Gua Musang hilang ketika keluar menoreh getah, semalam.

Mustapa Awang Mamat, 83, keluar dari rumahnya pada 9 pagi untuk ke kebun getah sejauh dua kilometer dengan menunggang motosikal sendirian.

Menurut isterinya, Asiah Mat Min, 63, Mustapa Awang akan pulang ke rumah antara 11 pagi hingga 12 tengah hari, namun sehingga 6 petang semalam dia tidak muncul.

"Disebabkan risau, anak bersama penduduk kampung lancarkan gerakan mencari di kawasan kebun itu tetapi tidak menemuinya.

"Laporan polis kemudian dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gua Musang pada 8 malam tadi," katanya yang berharap suaminya ditemui selamat.

Asiah berkata, itu adalah kehilangan keempat suaminya yang turut ke hutan untuk mencari batang palas bagi membuat hulu parang.

"Saya selalu melarang dia ke hutan sendirian tetapi tidak dihiraukannya," katanya.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Gua Musang Superintendan Mohd Taufik Maidin ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan itu.

Katanya, operasi mencari dan menyelamatkannya dilakukan bersama agensi keselamatan lain bermula 8 pagi hari ini.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Ogos 2020 @ 12:15 PM