Gambar hiasan. FOTO NSTP.
Gambar hiasan. FOTO NSTP.
Hayati Ibrahim


PERBELANJAAN sebanyak RM1.2 bilion diperlukan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) jika Pilihan Raya Umum (PRU) mengejut diadakan dalam tempoh penularan pandemik Covid-19.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Takiyuddin Hassan berkata, jumlah itu adalah anggaran yang mengambil kira pelaksanaan mengikut prosedur operasi standard (SOP) mencegah penularan wabak.

"Saya difahamkan oleh SPR, sekiranya kerajaan mengadakan pilihan raya 'snap' (mengejut) untuk seluruh negara pada masa pasca Covid-19, dianggarkan RM1.2 bilion diperlukan untuk mengendalikannya, bukan RM700 juta.

"Itulah kos yang diperlukan jika semua SOP diikuti," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan Tambahan (2019) 2020 peringkat jawatankuasa bagi Jabatan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Empat Ahli Parlimen mengambil bahagian dalam perbahasan berkenaan iaitu Ahli Parlimen Sepang Mohamed Hanipa Maidin; Ahli Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin; Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim dan Ahli Parlimen Arau, Datuk Seri Shahidan Kassim.

Sementara itu, Takiyuddin berkata, berdasarkan kertas perintah satu iaitu anggaran perbelanjaan mengurus tambahan pertama 2019, SPR diperuntukkan sebanyak RM15.65 juta, dan daripada jumlah itu RM12.94 juta diguna mengendalikan lima Pilihan Raya Kecil (PRK).

Ia adalah PRK Parlimen Cameron Highlands membabitkan kos RM3.50 juta; Tanjung Piai (RM2.67 juta) dan Sandakan (RM1.13 juta), sementara Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih (RM1.8 juta) dan DUN Rantau (RM1.82).

Beliau berkata, sebanyak RM400,000 pula diperuntukkan untuk membiayai petisyen pilihan raya susulan keputusan kerajaan sebelum ini yang tidak membenarkan kerajaan menggunakan khidmat Jabatan Peguam Negara untuk mengendalikan sesuatu petisyen pilihan raya.

Katanya, peruntukan itu digunakan untuk empat petisyen iaitu Pilihan Raya Parlimen Sipitang Sabah, Parlimen Jasin, Parlimen Kimanis dan DUN Rantau.

"SPR terpaksa menggunakan khidmat peguam swasta bagi mewakili SPR, sedangkan sebelum ini kerajaan memutuskan Jabatan Peguam Negara akan mewakili SPR dalam semua kes petisyen pilihan raya.

"Kerajaan pada ketika itu dan kerajaan sekarang berpandangan sebenarnya Jabatan Peguam Negara mempunyai kepakaran yang tidak boleh dipertikaikan, malah lebih baik daripada peguam swasta yang sekali-sekala mengendalikan kes petisyen pilihan raya.

"Oleh itu, kerajaan sekarang akan memikirkan dasar yang baru terhadap perwakilan kepada SPR jika berlaku lagi petisyen pilihan raya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Ogos 2020 @ 2:25 PM