ANGGOTA pasukan Bomba dan Penyelamat Kluang melakukan kerja-kerja membuka pintu sebuah rumah di Blok M, Jalan Haji Manan Kluang. FOTO ihsan BOMBA
ANGGOTA pasukan Bomba dan Penyelamat Kluang melakukan kerja-kerja membuka pintu sebuah rumah di Blok M, Jalan Haji Manan Kluang. FOTO ihsan BOMBA
Adnan Ibrahim


MISTERI bau busuk di sebuah rumah di Blok M, Jalan Haji Manan, Kluang terjawab dengan penemuan mayat seorang lelaki yang sudah lebam di bahagian tangan dan mukanya.

Ketua Polis Daerah Kluang Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, pihaknya menerima laporan daripada penghuni yang berjiran dengan rumah berkenaan pada jam 8.30 malam tadi sebelum menghantar sepasukan anggota untuk membuat siasatan.

Katanya, penghuni terbabit menghidu bau busuk dipercayai datang dari dalam rumah berkenaan sejak awal pagi semalam namun puncanya tidak dapat dipastikan kerana berkunci dari dalam.

"Berikutan itu, pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Kluang diminta membantu membuka pintu rumah bagi membolehkan siasatan dilakukan.

"Sebaik pintu rumah dibuka, satu mayat ditemui dalam keadaan terlentang di bilik tidur sebelum pasukan perubatan dipanggil untuk membuat pengesahan," katanya melalui kenyataan media, hari ini.

Menurutnya, siasatan mendapati lelaki berkenaan, Chan Kheng Huat, 58, dipercayai tinggal seorang diri dan sudah meninggal dunia lebih daripada 24 jam dari masa ditemui berdasarkan keadaan mayat.

"Mayat lelaki berkenaan kemudian dirujuk ke Hospital Enche Besar Hajjah Khalsom, Kluang untuk proses bedah siasat.

"Kes dikatogerikan sebagai mati mengejut dan keluarga lelaki berkenaan sedang dikesan untuk urusan selanjutnya," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Ogos 2020 @ 2:49 PM