ANTARA penyokong Najib yang berhimpun di luar pekarangan Kompleks Mahkamah Jalan Duta pada 28 Julai lalu. FOTO Aizuddin Saad.
ANTARA penyokong Najib yang berhimpun di luar pekarangan Kompleks Mahkamah Jalan Duta pada 28 Julai lalu. FOTO Aizuddin Saad.
Rafidah Mat Ruzki


"ALHAMDULILLAH, tiada kluster Najib (Covid-19)," kata bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

Beliau berkata demikian merujuk perhimpunan penyokongnya di luar Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, dua minggu lalu ketika penghakiman terhadap kes dihadapinya berhubung salah guna kuasa dan pengubahan wang haram, membabitkan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd (SRC).

Najib memuat naik kenyataan itu di Facebook (FB) hari ini dan menyatakan syukur kerana tiada mana-mana penyokongnya atau mereka yang berhimpun dijangkiti Covid-19.

"Hari ini genap 15 hari selepas penghakiman Mahkamah Tinggi kes SRC saya. Ini bermakna tiada kluster Najib tercetus sebab tempoh inkubasi Covid-19, 14 hari sudah berlalu.

"Alhamdulillah. Tapi kita jangan ulangi kesilapan hari itu. Kita perlu sentiasa mengamalkan SOP (prosedur operasi standard) demi kebaikan semua," katanya.

Perhimpunan penyokong Najib di Kompleks Mahkamah Jalan Duta, Kuala Lumpur pada 28 Julai lalu menimbulkan kegusaran selepas kebanyakan mereka didakwa mengabaikan SOP mencegah Covid-19 termasuk tidak memakai pelitup muka.

Malah, kebimbangan sama diluah Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah yang dilapor berkata, terasa hati dan kecewa dengan kelakuan penyokong Ahli Parlimen Pekan itu yang turut tidak mengamalkan penjarakan fizikal.

"Sedih bila melihat keadaan begini tiada kawalan kendiri. Sudah terang lagi bersuluh (sedangkan) setiap hari Kementerian Kesihatan mengingatkan rakyat Malaysia patuh kepada SOP," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Ogos 2020 @ 4:00 PM