Mufti Perlis, Profesor Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidi. FOTO Adibah Ahmad Izam
Mufti Perlis, Profesor Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidi. FOTO Adibah Ahmad Izam
Dziyaul Afnan Abdul Rahman


PERBUATAN menuduh kononnya anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tidak solat dan mengabaikan soal agama adalah perbuatan yang dianggap keterlaluan.

Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin mengakui, mengenali ramai anggota keselamatan di negara ini yang menjaga soal agama dalam kehidupan seharian.

"Saya menyokong hasrat untuk menghapuskan jenayah atau sindiket jenayah. Namun, untuk menyatakan kebanyakan anggota PDRM dan ATM tidak berakhlak, tidak solat, tidak memikirkan soal agama anak isteri dan seumpamanya, itu bagi saya sudah keterlaluan.

"Saya kenal ramai anggota PDRM dan ATM, akhlak mereka kadang-kadang jauh lebih baik dari ramai pihak dan mereka juga insan dan sebahagian besar mereka itu Muslim," katanya dalam kenyataan di media sosialnya hari ini.

Mohd Asri berkata, akhlak terpuji juga dapat dilihat dalam kalangan anggota bukan Muslim pasukan keselamatan terbabit.

"Perlu kita ingat atas pengorbanan mereka kita dapat hidup aman. Kelemahan memang ada di mana-mana pasukan dan agensi, namun keamanan yang kita kecapi jauh lebih baik dibandingkan kebanyakan negara lain.

"Jika kebanyakan (sikap) mereka itu buruk, sudah pasti tidak di tahap ini keamanan (dalam negara) kita. Disebabkan tugasan yang mereka laksanakan itu, kita semua boleh ke masjid, sekolah, tempat kerja dan melakukan kegiatan hidup dengan aman," katanya.

Mohd Asri berkata, janganlah hanya kerana kesilapan daripada sebahagian kecil yang dilakukan oleh mana-mana anggota, jasa dan pengorbanan besar mereka dilupakan.

"Jangan kita lupa budi orang lain, makna budi dan akhlak itu jauh lebih besar dari sekadar ke masjid atau berkopiah semata.

"Mereka yang berjaga malam, menjaga sempadan negara, menjaga jalan raya, menyiasat jenayah, memeriksa ancaman terhadap negara dan pelbagai tugasan lagi, adalah nilai budi yang tidak terbalas," katanya.

Semalam, satu klip video memaparkan pemilik perniagaan Mohd Asri Hamid, 42, atau dikenali Asri Janggut dalam sidang media, mendakwa anggota polis dan tentera tidak menjaga solat sehingga mengundang reaksi pelbagai pihak termasuk Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador.

Berita berkaitan

'Ini penghinaan kepada penjawat awam'

Saya akui kebodohan, maafkan saya - Asri Janggut [METROTV]

Dakwaan Asri Janggut keterlaluan - KPN

Tuduh polis tak jaga solat, kertas siasatan terhadap Asri Janggut dibuka

Ulasan Asri Janggut polis tak solat cetus kontroversi [METROTV]

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Ogos 2020 @ 5:20 PM