Tinjauan di sekitar Bandaraya Kuching, keadaan berjerebu dan cuaca mendung berkemungkinan kesan dari letusan debu dan asap dari gunung berapi Sinabung, Sumatera merentas sempadan.Pejalan kaki melintas bangunan Dewan Bandaraya Kuching Utara yang ditutup oleh jerebu. FOTO NADIM BOKHARI
Tinjauan di sekitar Bandaraya Kuching, keadaan berjerebu dan cuaca mendung berkemungkinan kesan dari letusan debu dan asap dari gunung berapi Sinabung, Sumatera merentas sempadan.Pejalan kaki melintas bangunan Dewan Bandaraya Kuching Utara yang ditutup oleh jerebu. FOTO NADIM BOKHARI
Mohd Roji Kawi


SARAWAK membuat persiapan awal bagi menghadapi musim kemarau yang dijangka berlarutan hingga awal Oktober ini dengan menyimpan bekalan air minuman untuk diagihkan kepada penduduk di kawasan terjejas.

Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak negeri Datuk Seri Fatimah Abdullah berkata, persediaan itu perlu berikutan banyak kawasan khususnya di pedalaman dijangka menghadapi kesan fenomena alam itu.

Beliau berkata, antara kawasan dijangka ialah pedalaman Miri, Kapit, Sri Aman serta kawasan persisiran.

"Berikutan perubahan angin monsun barat daya, Sarawak dijangka menghadapi cuaca panas dan kering berpanjangan, justeru kita harus bersedia kerana banyak kawasan akan terjejas apabila terputus bekalan air minuman.

"Mulai tahun ini, Jabatan Kebajikan Masyarakat Negeri Sarawak (JKMNS) membekalkan air dalam bekas berkapasiti 6 liter sebanyak empat botol atau 24 liter untuk setiap penerima, berbanding dalam bekas 1.5 liter atau 24 botol seorang seperti yang diagihkan sebelum ini," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kementeriannya di Pusat Konvensyen Borneo Kuching, hari ini.

Mengulas lanjut, Fatimah berkata, pihaknya memutuskan untuk mengagihkan bantuan dalam bekas berkapasiti 6 liter bagi mengurangkan bahan plastik yang dibuang.

"Sebelum ini kita mengagihkan 24 botol untuk seorang penduduk, bayangkan berapa jumlah botol plastik yang dibuang jika sesebuah kampung atau rumah panjang itu mempunyai 500 penduduk.

"Kini kita menyediakan bantuan dalam botol berkapasiti 6 liter yang saya percaya jumlah botol plastik yang akan dibuang adalah sedikit atau mungkin penduduk akan menyimpannya untuk kegunaan bagi menyimpan air selepas ini," katanya.

Sementara itu, Pemangku Pengarah JKMNS Mohamad Guntor Rajaee berkata, bekalan air minuman itu ditempatkan di 17 pangkalan hadapan di seluruh negeri ini.

"Kami sudah menyediakan 1,000 kotak yang mengandungi dua botol air minuman berkapasiti 6 liter setiap botol.

"Kami sudah bersedia untuk mengagihkannya pada bila-bila masa bekalan itu diperlukan," katanya.

Cuaca panas dan kering mula melanda negeri ini sejak beberapa hari lalu berikutan perubahan angin monsun barat daya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Ogos 2020 @ 5:35 PM