KEADAAN dapur sebuah kedai makan di bandar Tumpat yang kotor dengan peralatan memasak berkulat serta sampah yang tidak dibuang. FOTO Siti Rohana Idris
KEADAAN dapur sebuah kedai makan di bandar Tumpat yang kotor dengan peralatan memasak berkulat serta sampah yang tidak dibuang. FOTO Siti Rohana Idris
Siti Rohana Idris


PERALATAN memasak berkulat, sampah tidak dibuang selain kucing berkeliaran menimbulkan pandangan meloyakan di ruang dapur sebuah kedai makan di Tumpat.

Bukan itu saja malah kelihatan tompokan najis lipas dan tikus yang tidak dibersihkan sekali gus menyaksikan premis yang menjadi tumpuan pengunjung itu diarahkan ditutup serta merta oleh pihak berkuasa.

Alasan yang diberikan oleh pemilik premis ialah, dia terlalu sibuk dan tidak mempunyai kakitangan cukup untuk melakukan semua itu.

Kedai makan itu antara empat premis yang ditutup sempena Operasi Bersepadu Premis Bersih yang dijalankan oleh Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan yang memasuki siri kelima di mana kali ini, ia membabitkan Tumpat.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Zaini Hussin berkata, pemeriksaan pada kali ini memberi keutamaan kepada premis makanan yang menjadi tumpuan orang ramai.

Beliau berkata, 66 premis makanan diperiksa dan hasilnya, empat premis diarahkan tutup selama 14 hari.

"Sebanyak 54 notis kompaun dikeluarkan kepada pemilik premis dan pengendali makanan atas pelbagai kesalahan yang melanggar Peraturan-Peraturan Kebersihan Makanan 2009," katanya.

Pada operasi bermula jam 9.30 pagi hingga jam 4.30 petang itu, sebuah kedai makan yang menyediakan menu unik iaitu gulai perut ayam yang pernah tular juga diarahkan tutup berikutan kesalahan yang sama iaitu tidak menjaga kebersihan premis terutama bahagian dapur.

Alasan yang sama juga diberikan iaitu tiada kakitangan yang cukup kerana hanya menggunakan dua pekerja sahaja sekali gus tidak sempat membersihkan atau menguruskan ruang itu dengan sempurna.

Dr Zaini berkata, pemilik premis makanan yang didapati tidak mematuhi elemen penting kebersihan akan diberi bimbingan untuk mengambil tindakan pembetulan bagi meningkatkan tahap kebersihan premis mereka.

"Saya ingin menasihatkan orang ramai supaya memilih premis makanan yang bersih dan jika mempunyai kemusykilan berhubung isu keselamatan makanan, boleh menghubungi Pejabat Kesihatan Daerah atau Jabatan Kesihatan Negeri terdekat.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Ogos 2020 @ 5:55 PM