PENIAGA meletakkan objek di tempat parkir di hadapan premis perniagaan. FOTO ihsan pembaca
PENIAGA meletakkan objek di tempat parkir di hadapan premis perniagaan. FOTO ihsan pembaca
Nor Azizah Mokhtar


TUDUHAN mengatakan peniaga warga asing meletakkan beberapa objek untuk menghalang orang meletakkan kenderaan di hadapan premis perniagaan di Pasar Selayang, Kuala Lumpur, seperti dalam rakaman video ditularkan sejak semalam, adalah bersifat jahat dan tidak benar.

Timbalan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Dr Shanthara Kumar berkata, siasatan mendapati peniaga terbabit adalah warga negara Malaysia dan bukannya warga asing seperti disebut dalam rakaman video berkenaan.

"Penguat kuasa Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) sudah menjalankan siasatan dan mendapati peniaga terbabit adalah warga negara Malaysia.

"Tuduhan mengatakan perkara itu dilakukan peniaga warga asing adalah sangkaan jahat dan tidak benar," katanya dalam satu hantaran di akaun Facebook rasmi beliau, hari ini.

Bagaimanapun, katanya, tindakan peniaga terbabit meletakkan objek penghalang di tempat parkir itu adalah satu kesalahan dan tindakan akan diambil mengikut Undang-undang Kecil DBKL.

Dalam pada itu, beliau meminta orang ramai yang mahu membuat aduan mengenai peniaga warga asing agar menyalurkan maklumat menerusi nombor hotline DBKL 1800-88-3255 serta menghantar salinan maklumat ke emel [email protected] dan [email protected].

Menerusi rakaman video berdurasi seminit 34 saat itu, perakam mendakwa peniaga warga Pakistan dan Bangladesh yang menjual bawang meletakkan objek penghalang di hadapan kedainya dipercayai bagi menghalang orang ramai meletakkan kenderaan.

Dalam rakaman itu, kelihatan enam objek terdiri daripada dua buah tong sampah dan empat tong termasuk tong cat kosong diletakkan dengan jarak tertentu di hadapan premis terbabit.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Ogos 2020 @ 6:01 PM