GAMBAR hiasan
GAMBAR hiasan
Hafidzul Hilmi Mohd Noor

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) masih menyiasat kes seorang pelajar tingkatan lima sebuah sekolah menengah di Lembah Pantai, Kuala Lumpur yang bergejala dan tular di media sosial sejak kelmarin.

Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pihaknya mengambil maklum mesej pesanan ringkas yang disebarkan melalui aplikasi Whatsapp dan laman media sosial.

"Namun demikian, KKM sedang menyiasat lanjut kes ini. KKM menerima laporan dari sekolah terbabit mengenai satu kes bergejala yang membabitkan seorang pelajar.

"Susulan itu, siasatan dijalankan mengikut protokol KKM di mana sebarang kes yang dilaporkan ke KKM akan disiasat terlebih dahulu dan tindakan lanjut seperti pengesanan kes akan dijalankan jika perlu," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, hasil siasatan mendapati pelajar berkenaan mengalami gejala muntah dan cirit- birit pada 9 Ogos lalu.

Menurutnya, dia kemudian dibawa ke klinik swasta pada 10 Ogos lalu untuk mendapatkan rawatan dan dipindahkan ke pusat perubatan bagi rawatan lanjut termasuk saringan demam denggi serta Covid-19.

"Keputusan saringan demam denggi didapati positif, namun pengesahan ujian Covid-19 sedang dijalankan di makmal bagi memastikan tiada tindak balas silang semasa ujian yang mungkin boleh berlaku memandangkan beliau dijangkiti demam denggi," katanya.

Menurutnya, sementara menunggu pengesahan ujian makmal, pihak KKM memulakan aktiviti awal pengesanan kes secara aktif bagi mencegah risiko penularan jangkitan.

"Setakat ini, seramai 34 pelajar dan lapan guru dikenal pasti sebagai kontak rapat kepada pelajar berkenaan.

"Daripada jumlah berkenaan, seramai 28 orang disaring dan 14 orang lagi diberi arahan untuk hadir ke klinik kesihatan untuk persampelan.

"Semua individu yang disaring ini diberi arahan untuk menjalani Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) sebagai langkah pencegahan," katanya.

  • Lagi berita berkaitan Covid-19
  • Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Ogos 2020 @ 6:11 PM