PATI yang ditahan ketika memasuki Semporna, hari ini. FOTO ihsan PGA
PATI yang ditahan ketika memasuki Semporna, hari ini. FOTO ihsan PGA
Abdul Rahemang Taiming


PASUKAN Gerakan Am (PGA) menahan 13 pendatang asing tanpa izin (Pati) termasuk dua kanak-kanak dalam dua tangkapan berasingan di kawasan perairan Pulau Mataking dan Pulau Boheyan, Semporna, hari ini.

Semua Pati yang menaiki dua bot berasingan dikesan sepasukan pegawai dan anggota yang menjalankan rondaan menerusi Ops Benteng Covid-19 di kawasan perairan berkenaan pada 2.30 pagi.

Pegawai Pemerintah Batalion 14 PGA Tawau, Superintendan Mohd Yacob Murad berkata, pemeriksaan mendapati semua suspek lelaki berusia antara tujuh hingga 40 tahun tidak memiliki dokumen perjalanan atau pengenalan diri sah.

"Siasatan lanjut mendapati semua suspek dipercayai berasal dari selatan Filipina itu cuba menyusup masuk ke daerah ini seawal 2 pagi bagi mengelak pergerakan mereka dikesan pihak berkuasa.

"Bagaimanapun, taktik dan modus operandi mereka berjaya dihidu hasil kecekapan serta kepantasan anggota keselamatan yang sentiasa bersiap siaga mengekang kemasukan Pati," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, pihaknya turut menemui lapan laras senapang panah buatan sendiri, tiga kompressor, empat tong gas cecair petroleum (LPG), lima tong ais dan empat lampu suluh.

Menurutnya, semua tangkapan dan barang rampasan termasuk dua bot dan enjin sangkut itu dianggarkan bernilai RM21,300 dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Semporna untuk siasatan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1957/63 dan Akta Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Ogos 2020 @ 9:32 PM