ABDUL Hamid. FOTO Arkib NSTP
ABDUL Hamid. FOTO Arkib NSTP
Nor Azizah Mokhtar

POLIS Diraja Malaysia (PDRM)) sedang menjalankan siasatan secara mendalam berhubung pendedahan akhbar di United Kingdom (UK) mengenai seorang lelaki warga Malaysia didakwa terbabit dalam aktiviti perdagangan organ manusia secara haram di negara itu.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, pihaknya amat meragui pendedahan dibuat akhbar berkenaan dan siasatan akan dibuat bagi memastikan kebenarannya.

"Siasatan berhubung perkara itu mula dijalankan Polis Sarawak.

"Kita amat ragu dengan pendedahan itu, oleh itu kita akan memastikan berita sensasi sedemikian disiasat sedalam-dalamnya," katanya ketika dihubungi BH, hari ini.

Beliau berkata, pendedahan itu yang mengatakan seorang lelaki rakyat Malaysia terbabit dalam kegiatan menjual organ secara haram jelas menjejaskan imej negara.

Menerusi pendedahan akhbar The Sun yang berpangkalan di UK pada 8 Ogos lalu itu, lelaki dikenali sebagai Shaifullizan Abdul Mutalib, 48, mendedahkan aktivitinya kepada seorang wartawan akhbar terbabit yang menyamar sebagai pembeli.

Shaifullizan dikatakan bercakap besar kepada wartawan terbabit mengatakan dia boleh mengatur urusan transplan organ secara haram kepada warga Britain dengan kos 85,000 Pound Sterling (RM465,000).

Menurut akhbar itu, perbualan antara Shaifullizan bersama wartawan itu dirakam menerusi satu kamera tersembunyi.

Lelaki berkenaan mengatakan dia mendalangi 45 penjualan buah pinggang dan menggunakan Facebook untuk menarik perhatian mana-mana individu miskin di seluruh dunia untuk menjual organ mereka kepada pesakit terdesak.

Dia dikatakan terbabit dalam aktiviti jual beli organ manusia dan berperanan sebagai orang tengah yang mengatur jual beli bahagian tubuh manusia sejak 2010.

Berita berkaitan

Broker jual organ sudah lari?

Siasat perdagangan organ

Polis cari broker jual buah pinggang

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 12 Ogos 2020 @ 10:24 PM