GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Hayati Ibrahim


Kerajaan sedang meneliti untuk menubuh semula Jawatankuasa Memperkasa Mahkamah Syariah (JKMMS), kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri.

Beliau berkata, jawatankuasa berkenaan pernah ditubuhkan pada Ogos 2017 yang dipengerusikan Tan Sri Dr Mohd Yusof Noor.

"Ia bertujuan memartabatkan sistem perundangan syariah secara holistik selaras dengan kedudukan Islam dalam Perlembagaan Persekutuan.

"Bagaimanapun, Jawatankuasa ini terhenti akibat pertukaran kerajaan selepas Pilihanraya Umum ke-14.

"Jadi, Kerajaan kini sedang meneliti kewajaran untuk menubuhkan semula Jawatankuasa ini," katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Tan Sri Noh Omar (BN-Tanjong Karang) yang ingin mengetahui adakah kerajaan berhasrat menubuhkan jawatankuasa bagi menstruktur semula pentadbiran dan prosedur yang diguna pakai Mahkamah Syariah bagi menaik taraf perkhidmatan, serta integriti institusi berkenaan dalam memastikan setiap pihak mendapat keadilan dengan cepat dan telus.

Zulkifli berkata, selain itu, penyeragaman pentadbiran juga dilakukan melalui pembinaan Arahan Amalan Mahkamah Syariah, Kaedah-Kaedah Mahkamah Syariah dan prosedur operasi standard (SOP) yang akan digunapakai di Mahkamah Syariah seluruh negara.

Katanya, usaha itu dibuat melalui perbincangan dalam Persidangan Ketua-Ketua Hakim Syarie Seluruh Malaysia dan mesyuarat Ketua-Ketua Pendaftar Mahkamah Syariah.

"Inisiatif berbentuk inovasi juga diperkenalkan bagi mempercepatkan penyelesaian kes dan kelancaran pengurusan pentadbiran mahkamah.

"Antaranya e-Bicara, e-Faraid, Program Perceraian Secara Fast Track di Selangor; Program Sifar Kes Tertunggak (SIKET) di Wilayah Persekutuan; E-Syariah Instant Access Procedure (e-Siap) di Pulau Pinang dan pengenalan sistem i-Tray dan i-Post di Terengganu bagi mempercepatkan penyerahan dokumen dan perintah mahkamah," katanya.

Berhubung tempoh masa penyelesaian sesuatu kes di Mahkamah Syariah, Zulkifli berkata, ia bergantung kepada pelbagai faktor sama ada daripada pihak Mahkamah Syariah, pihak Peguam Syarie atau pihak dalam kes itu sendiri.

Katanya, usaha proaktif dilakukan oleh Mahkamah-Mahkamah Syariah melalui penguatkuasaan Arahan Amalan, Kaedah-Kaedah Mahkamah Syariah dan SOP bagi memastikan setiap kes diselesaikan dalam tempoh masa yang munasabah.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Ogos 2020 @ 12:24 PM