Hayati Ibrahim


PEMILIKAN ekuiti Bumiputera dalam sektor korporat yang ketika ini pada kadar 16.2 peratus disifatkan agak membimbangkan, kata Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Beliau berkata, peratusan itu merosot dengan teruk berbanding sebelum ini.

"Jadi, komitmen kita sekarang adalah berusaha lebih lagi daripada dahulu, sebab itu dalam penjelasan saya sebelum ini ada memaklumkan mengenai inisiatif baharu seperti Majlis Kemakmuran Bumiputera yang akan meneliti dan memperhalusi sektor mana Bumiputera masih jauh ke belakang.

"Contohnya pembangunan pembuatan, sektor perbankan, pertanian. Bila ada data lengkap yang dikumpulkan menerusi Unit Peneraju Agenda Bumiputera (Teraju), tindakan kita lebih berfokus, dan inisiatif ini akan dilaksanakan dengan lebih gigih," katanya pada sesi Pertanyaan Bagi Jawab Lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi (BN-Bagan Datuk) berhubung kedudukan pemilikan ekuiti Bumiputera dalam syarikat tersenarai dan tidak tersenarai.

Menjawab soalan tambahan ketiga daripada Datuk Seri Hasan Arifin (BN-Rompin) sama ada kerajaan bersedia mempertimbangkan kerjasama 'genuine' antara bukan Bumiputera dan Bumiputera bagi meningkatkan pembabitan Bumiputera dalam perniagaan, beliau berkata, cadangan itu akan diambil perhatian.

"Itu juga satu daripada usaha yang boleh dilakukan untuk menggabungkan tenaga dan sumber modal daripada Bumiputera dan bukan Bumiputera menerusi kerjasama 'genuine', bukannya Ali Baba atau cara yang tidak sesuai dengan dasar kita.

"Perkara ini akan diambil perhatian dan Insya-Allah akan diberi tumpuan dalam rangka kerja yang dirancang sekarang ini," katanya.

Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas menghadiri Persidangan Parlimen Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di Bangunan Parlimen hari ini. FOTO BERNAMA
Tan Sri Muhyiddin Yassin selepas menghadiri Persidangan Parlimen Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di Bangunan Parlimen hari ini. FOTO BERNAMA

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Ogos 2020 @ 2:01 PM