Raja Noraina Raja Rahim


PENDUDUK setempat dan orang luar dilarang melakukan pergerakan keluar masuk kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan Bersasar Secara Pentadbiran (Temco) di Kedah dan Perlis.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Polis Diraja Malaysia (PDRM) membuat kawalan sepanjang masa dan akan mengambil tindakan terhadap individu ingkar arahan.

Menurutnya, amaran itu berikutan masih ada individu yang ingkar dengan keluar melalui lorong tikus seperti laluan batas sawah.

"Saya difahamkan semalam ada pasangan suami isteri menaiki motosikal keluar dengan memakai gelang (kuarantin) dan polis sudah mengambil tindakan kepada mereka.

"Kita (polis) meletakkan sekatan jalan raya (SJR) di kawasan Temco itu tetapi tidak semua tempat boleh ada SJR kerana seperti di kawasan kampung mempunyai banyak sawah padi.

"Polis sudah ditugaskan mengawal dan memantau kawasan berkenaan bagi memastikan mereka tidak keluar. Jika ditangkap akan dikenakan hukuman berat," katanya pada sidang media harian, hari ini.

Bagaimanapun, Ismail Sabri berkata, penduduk setempat di dalam kawasan Temco berkenaan bebas bergerak.

Justeru, beliau merayu penduduk yang diarahkan berada di kawasan Temco itu supaya mematuhi arahan demi keselamatan ramai.

"Tolonglah, kita bukan saja jaga diri sendiri tapi jaga juga kepentingan orang lain kerana apabila mereka keluar semasa tempoh kuarantin 14 hari belum selesai, bahaya masih ada dan akan bawa bahaya kepada orang lain.

"Kena ada timbang rasa untuk jaga kepentingan orang lain, jangan redah sawah semata-mata untuk keluar," katanya.

ISMAIL Sabri. FOTO arkib NSTP
ISMAIL Sabri. FOTO arkib NSTP

  • Lagi berita berkaitan perintah kawalan pergerakan
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Ogos 2020 @ 3:01 PM