Kumpulan  24 ekor gajah liar memasuki kawasan  kampung Batu Balak dekat Kuala Tembeling di sini sejak beberapa hari lalu dan merosakkan tanaman kelapa sawit penduduk. FOTO ROSELAN  AB MALEK
Kumpulan 24 ekor gajah liar memasuki kawasan kampung Batu Balak dekat Kuala Tembeling di sini sejak beberapa hari lalu dan merosakkan tanaman kelapa sawit penduduk. FOTO ROSELAN AB MALEK
Roselan Ab Malek


LEBIH 150 penduduk Kampung Batu Balak dekat Kuala Tembeling di Jerantut, gusar dengan ancaman 24 ekor gajah liar sejak beberapa hari lalu.

Kumpulan gajah liar itu dipercayai datang dari kawasan Kampung Pulau Tawar dan turut memusnahkan hasil tanaman penduduk.

Ketua Kampung, Mohd Johari Umar berkata, kehadiran kumpulan gajah itu dikesan Sabtu lalu.

"Jumlah gajah liar yang menceroboh paling banyak direkodkan berbanding sebelum ini.

"Bukan saja memusnahkan tanaman malah kumpulan gajah ini berkeliaran di belakang kediaman penduduk. Ia meresahkan kami yang bimbang dengan keselamatan diri serta keluarga," katanya.

Menurut Mohd Johari, dua pemilik kebun kelapa sawit turut kerugian kira-kira RM100,000 akibat serangan kumpulan gajah liar terbabit.

Penduduk, Mohd Rozin Abdullah berkata, kumpulan gajah terbabit merosakkan 150 pokok kelapa sawit ditanamnya di tanah seluas 2.4 hektar menyebabkan dia kerugian kira-kira RM40,000.

Katanya, rakannya yang dikenali sebagai Mustafa Ibrahim kerugian kira-kira RM60,000 apabila gajah itu merosakkan kira-kira 200 pokok kelapa sawit di tanah seluas 6.4 hektar.

"Kami harap pihak berkaitan segera bertindak sebelum insiden lebih serius berlaku," katanya.

Pada masa sama, anggota Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara Semenanjung Malaysia (PERHILITAN) Jerantut juga ke lokasi kejadian bagi menilai kejadian selain melakukan pemantauan untuk tindakan seterusnya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Ogos 2020 @ 3:15 PM