Ketua Akauntan, Kementerian Pendidikan Malaysia, Nasran Omar  (tengah) bersama replika cek berjumlah RM 530,000 untuk diberikan kepada 106 surau sekolah kawasan Wilayah Persekutuan. Turut hadir guru besar dan pengetua pada majlis pelancaran Kempen Zakat Pendidik & Penyerahan Wakalah Zakat di Sekolah Menengah Agama MAIWP, Bandar Seri Permaisuri. FOTO KHAIRUL AZHAR AHMAD
Ketua Akauntan, Kementerian Pendidikan Malaysia, Nasran Omar (tengah) bersama replika cek berjumlah RM 530,000 untuk diberikan kepada 106 surau sekolah kawasan Wilayah Persekutuan. Turut hadir guru besar dan pengetua pada majlis pelancaran Kempen Zakat Pendidik & Penyerahan Wakalah Zakat di Sekolah Menengah Agama MAIWP, Bandar Seri Permaisuri. FOTO KHAIRUL AZHAR AHMAD
Murnaena Muhammad Nasir


SYUKUR apabila suasana surau sekolah menjadi lebih ceria, kondusif dan selesa.

Itu kata-kata dizahirkan rata-rata pengurusan 106 sekolah di Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur apabila menerima sumbangan wakalah zakat RM5,000 daripada Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) bagi kegunaan penyelenggaraan dan baik pulih surau.

Pengetua Sekolah Menengah Integrasi Sains Tahfiz Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Wan Jamaludin Wan Bidin, 52, berkata sumbangan yang diberikan amat bermakna buat pihak sekolah.

"Kami amat berterima kasih atas sumbangan cukup bererti buat pihak sekolah bagi membantu menambah baik fasiliti dan keceriaan surau.

"Sebahagian sumbangan ini juga akan digunakan dalam pelaksanaan program surau yang bersesuaian dengan norma baharu," katanya.

Penyerahan wakalah zakat berjumlah RM530,000 kepada 106 sekolah terpilih itu disampaikan Ketua Akauntan KPM Nasran Omar pada majlis pelancaran Kempen Zakat Pendidik 2020, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Pusat Pungutan Zakat (PPZ) MAIWP, Abdul Hakim Amir Osman dan Timbalan Pengarah Pendidikan Sektor Perancangan dan Pengurusan, Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPWPKL), Mohd Najib Abdul Rahman.

Guru Besar Sekolah Kebangsaan Seri Saujana, Kamarul Ariffin Ishak, 54, berkata sumbangan yang diberikan akan dimanfaatkan sepenuhnya.

"Pihak sekolah akan menyelenggara penghawa dingin di surau supaya pelajar dan kakitangan berasa lebih selasa ketika melakukan ibadah.

"Kami juga akan membeli beberapa fasiliti baru seperti almari, sejadah, papan rehal dan langsir serta pembelian cat bagi mencantikkan surau," katanya.

Penolong Kanan Hal Ehwal Murid, Sekolah Menengah Kebangsaan St Gabriel, Kampung Pandan, Sa'adiah Salikin berkata, wang sumbangan berkenaan bakal memanfaatkan seluruh pelajar dan kakitangan sekolah.

"Dulu kami hanya ada satu surau khas untuk pelajar lelaki, manakala untuk guru-guru hanya menggunakan bilik kecil saja.

"Dengan sumbangan ini, kami akan gunakan sebaik mungkin untuk menyediakan surau lebih kondusif bagi manfaat bukan sahaja pelajar, malah kakitangan sekolah," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Ogos 2020 @ 3:41 PM