Komputer yang digunakan sebagai mesin judi dalam talian. FOTO Arkib NSTP
Komputer yang digunakan sebagai mesin judi dalam talian. FOTO Arkib NSTP
Yusmizal Dolah Aling


JADIKAN pembanterasan aktiviti perjudian dan salah laku penguat kuasa sebagai agenda nasional.

Ini kerana masyarakat ingin melihat penghapusan secara total semua kegiatan haram terbabit dan bukannya sekadar tindakan bermusim kerana sesuatu isu tular seperti kontroversi membabitkan Mohd Asri Hamid atau Asri Janggut.

Aktivis Masyarakat Azman Kang Abdullah berkata, inisiatif yang diambil pihak berkuasa tempatan di beberapa tempat susulan pembongkaran aktiviti judi di Sungai Buloh perlu dijadikan permulaan yang baik ke arah menghapuskan kegiatan berkenaan.

Katanya, seperti juga di tempat lain, pelbagai aduan dibuat orang awam berkaitan wujud aktiviti seumpamanya, namun yang sering dipersoalkan ialah tindakan.

"Dalam hal ini kita perlu realistik. Bukan semua penguat kuasa yang terbabit dengan tauke judi, tetapi kita juga perlu akui ada aktiviti seperti itu.

"Jika tidak, lama kelamaan masyarakat akan membiarkan saja perkara tidak baik berlaku di depan mata, malas ambil peduli kerana tiada tindakan proaktif.

"Dalam isu Asri Janggut, usaha yang dibuat itu baik. Tetapi apakah kita perlu ada sepuluh orang lagi seperti dia untuk tengok di semua tempat," katanya kepada Harian Metro.

Azman memberikan contoh bagaimana isu pusat refleksologi yang menyediakan khidmat seks di Mentakab yang pernah didedahkannya sebelum ini masih lagi beroperasi secara pintu belakang.

Menurutnya, isu berkenaan sudah dibawa kepada pengetahuan pihak berwajib, namun masih tiada tindakan susulan.

"Sebab itu saya cadangkan pembanterasan aktiviti haram ini dijadikan agenda nasional supaya semua orang dapat memainkan peranan masing-masing.

"Bila semua orang buka mata, tiada lagi unsur-unsur rasuah kerana aduan yang diberikan sudah lengkap dan berfakta," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Ogos 2020 @ 3:55 PM