DATUK Alexander Nanta Linggi (gambar arkib NSTP). FOTO Mohd Fadli Hamzah
DATUK Alexander Nanta Linggi (gambar arkib NSTP). FOTO Mohd Fadli Hamzah
Hayati Ibrahim


SEBANYAK 600 syarikat disiasat berhubung kes penipuan bida yang membabitkan nilai tender berjumlah RM5.9 bilion.

Mendedahkan perkara itu, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP), Datuk Alexander Nanta Linggi berkata, siasatan Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) itu membabitkan tender yang dikeluarkan beberapa kementerian, agensi kerajaan dan syarikat swasta.

"Isu penipuan bida adalah tumpuan utama MyCC kerana setiap tahun kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri dan tempatan, serta badan berkanun memperoleh barangan dan perkhidmatan melalui tender awam bernilai lebih RM150 bilion.

"MyCC ketika ini sedang menyiasat beberapa kes tipuan bida yang membabitkan tender dikeluarkan beberapa kementerian, agensi kerajaan dan syarikat swasta dengan nilai tender yang disiasat dan sudah diteliti dianggarkan berjumlah RM5.9 bilion," katanya pada sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Robert Lawson Chuat (GPS-Betong) mengenai rancangan kerajaan bagi membendung masalah penipuan bida, serta apakah rancangan kerajaan untuk memperkasakan peranan MyCC dan dakwaan oleh Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM) kononnya wujud kartel tender oleh kontraktor pembinaan.

Mengenai aduan PKBM, Alexander berkata, MyCC sudah berjumpa dengan ahli PKBM dan siasatan berhubung kes berkenaan sedang dijalankan.

"MyCC percaya penguatkuasaan bukan penyelesaian menyeluruh bagi isu tipuan bida, justeru, MyCC mengadakan program advokasi untuk meningkatkan kesedaran mengenai Akta Persaingan dan isu persaingan.

"Sejak 2011 sebanyak 50 program advokasi mengenai tipuan bida sudah dibuat untuk agensi kerajaan, pemain industri, persatuan peniaga, badan profesional, institusi pendidikan dan orang awam," katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, MyCC aktif memberikan input dan nasihat dasar kepada pihak kementerian berkaitan isu persaingan.

"Sebanyak tujuh nasihat polisi dikeluarkan berkenaan isu tender kerajaan termasuk tipuan bida.

"Antaranya meletakkan terma tender yang menjurus kepada jenama khusus, tender tertutup, terma tender yang memberi peluang lebih kepada pihak tertentu dan sebagainya," katanya.

Mengenai tipuan bida melalui tender yang ditawarkan Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara), Alexander berkata, kes berkenaan masih di peringkat representasi lisan, dan dijangka dimuktamadkan tahun ini.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Ogos 2020 @ 4:34 PM