GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
GAMBAR hiasan. FOTO arkib NSTP
Nur Izzati Mohamad


HASRAT seorang pelajar kolej membeli pelitup muka secara pukal untuk diletakkan di kedai runcit milik ibunya tidak kesampaian apabila dia kerugian RM1,800 ditipu sindiket penjualan dalam talian.

Mangsa, wanita berusia 19 tahun melayari Facebook pada 5 Ogos lalu, sebelum ternampak dengan iklan sekotak pelitup muka yang hanya dijual pada harga RM9 .

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, mangsa yang ingin meletakkan pelitup muka di kedai runcit ibunya untuk dijual berminat membuat belian dan terus berhubung dengan nombor yang diberikan melalui aplikasi WhatsApp.

"Selepas berhubung mangsa berminat membeli 200 kotak yang setiap kotak mengandungi 50 keping pelitup muka.

"Mangsa membuat bayaran RM1,800 ke dalam satu akaun bank yang diberikan dan dia dijanjikan menerima barangan berkenaan dalam tempoh tiga hari.

"Bagaimanapun, sehingga kini, dia tidak menerimanya dan apabila berhubung semula dengan penjual berkenaan gagal lalu sedar bahawa dirinya sudah terperangkap dengan sindiket penipuan," katanya dalam kenyataan, di sini, hari ini.

Noorzainy berkata, mangsa membuat laporan polis semalam untuk tindakan lanjut.

"Siasatan mendapati akaun bank yang diberikan oleh pihak penjual turut terbabit dengan lima kes penipuan menggunakan modus operandi sama.

"Polis daerah sudah membuka 13 kertas siasatan berkaitan penipuan penjualan pelitup muka bagi tempoh Januari hingga bulan ini membabitkan kerugian RM 68,935," katanya.

Kes disiasat mengikut Seksyen 420, Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Ogos 2020 @ 5:46 PM