REMAJA lelaki ditahan selepas berperanan sebagai orang tengah dalam aktiviti penjualan syabu di Kampung Delima, Kota Kinabalu. FOTO Juwan Riduan
REMAJA lelaki ditahan selepas berperanan sebagai orang tengah dalam aktiviti penjualan syabu di Kampung Delima, Kota Kinabalu. FOTO Juwan Riduan
Juwan Riduan


SEORANG remaja lelaki berusia 13 tahun yang berperanan sebagai 'orang tengah' untuk aktiviti penjualan syabu ditahan di Kampung Delima, Kota Kinabalu, semalam.

Ketika ditahan, pemeriksaan mendapati remaja terbabit memiliki enam peket syabu seberat 5.74 gram yang dianggarkan bernilai RM574 berdasarkan harga pasaran semasa.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Habibi Majinji berkata, tangkapan dilakukan hasil maklumat dan risikan yang diperoleh polis.

Katanya, ketika ditahan, suspek bertindak agresif dan cuba melarikan diri namun tindakan pantas polis berjaya menahan remaja terbabit.

"Hasil siasatan awal mendapati, suspek mengaku menerima upah hasil daripada penjualan syabu berkenaan di sekitar kampung berkenaan.

"Siasatan turut mendapati, suspek bukan warganegara dan dikehendaki kerana pernah melarikan diri dari Pusat Tahanan Sementara (PTS) Manggatal pada 12 April lalu," katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan hari ini.

Habibi berkata, suspek ditahan reman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 39A(1) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang dua tahun dan tidak lebih 5 tahun.

Selain itu, katanya, pesalah turut boleh dikenakan hukuman tidak kurang tiga sebatan dan tidak lebih sembilan sebatan.

Sementara itu, Habibi berkata, kejayaan tangkapan itu akan diteruskan bagi mengenal pasti dan mengambil tindakan terhadap ahli sindiket pengedaran dadah di kawasan berkenaan.

Katanya, usaha membanteras kegiatan dadah ini akan diperhebatkan dan dipertingkatkan bagi menjaga kesejahteraan dan ketenteraman awam di Kota Kinabalu.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Ogos 2020 @ 5:48 PM