NOOR Karmilawatie menunjukkan dokumen perintah mahkamah bagi mencari bapa kandung untuk menjadi wali pada pernikahannya 26 Ogos ini. FOTO Amir Mamat
NOOR Karmilawatie menunjukkan dokumen perintah mahkamah bagi mencari bapa kandung untuk menjadi wali pada pernikahannya 26 Ogos ini. FOTO Amir Mamat
Amir Mamat

SEORANG wanita yang bakal melangsungkan perkahwinan 26 Ogos ini berharap dapat menemui bapa kandungnya untuk menjadi wali pernikahan selepas usaha menjejaki lelaki itu sejak beberapa bulan lalu gagal.

Noor Karmilawatie Mohd Fuzi, 22, dari Duyong, Melaka, berkata, dia tidak pernah mengenali secara dekat bapanya, Fuzi Osman, kerana ibu dan bapanya berpisah ketika dia masih kecil.

"Kali terakhir berjumpa dengan bapa ketika berumur empat tahun dan selepas itu saya tinggal bersama nenek di Pulau Pinang.

"Bagaimanapun, selepas nenek meninggal dunia, saya berpindah ke Melaka dan tinggal bersama ibu saudara," katanya.

Dia berkata, sejak itu mereka terputus hubungan dan usaha mencari bapanya menjadi sukar kerana tidak tahu di mana lelaki itu tinggal, tetapi hanya dimaklumkan bapanya berasal dari Kedah.

"Sehubungan itu, saya berharap bapa dapat tampil ke Mahkamah Syariah Tangkak, Johor pada 26 Ogos ini bagi urusan pernikahan.

"Mereka yang mengenali Mohd Fuzi boleh menghubungi saya di talian 017-5782844," katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 13 Ogos 2020 @ 6:11 PM